"BUKAN SENANG TAPI MUDAH" KALAU KITA MENJAGA ADAB DAN AJKHLAK, PERJALANAN KITA MENUJU ALLAH MENJADI MUDAH.
eBooks, Software and Downloads

Majlis Ulama Yahudi Antarabangsa

Posted by Nabiha Al-Khalidiy On 3:20 AM 2 comments


Yahudi adalah bangsa bagi sesuatu kaum, dikalangan mereka juga ada yang beragama Islam, Kristian, Komunis dan sebagainya. Namun, agama rasmi bagi umat Yahudi ialah Judais sepertimana bangsa Melayu amat sinonim dengan agama Islam walaupun ada dikalangan orang Melayu bukan beragama Islam.


Di dalam agama Judais, pembuat keputusan terhadap sesuatu fatwa Taurat ditentukan oleh suatu majlis rasmi yang dianggotai oleh para Rabbi (Gelaran kepada paderi Yahudi) seluruh dunia. Fatwa-fatwa yang diputuskan ini akan meliputi pelbagai aspek yang diamalkan dalam ajaran Nabi Ibrahim a.s. tidak lama dahulu.
Majlis yang bertanggungjawab membuat fatwa untuk seluruh masyarakat Yahudi dipanggil Chief Rabbinate Council (CRC). Di dalam CRC terdapat peringkat-peringkat jawatan yang dipilih secara undian oleh rabbi-rabbi dari seluruh dunia. Pemegang jawatan tertinggi CRC atau ketua bagi semua ulama Yahudi digelar sebagai Rishon L’Tzion.

Jawatan Rishon L’Tzion


Jawatan tertinggi ini dalam majlis ulama Yahudi ini dipilih melalui pilihanraya tertutup yang hanya diundi dikalangan rabbi-rabbi yang hadir. Pemegang jawatan Rishon L’Tzion berkuasa bagi menentukan fatwa untuk sebarang isu-isu yang berlaku didalam masyarakat Yahudi beragama Judais.

Namun begitu, jawatan ini bukanlah mudah untuk disandang, setiap calon yang bertanding untuk jawatan Rishon L’Tzion mesti mengambil ujian penulisan yang ketat. Ujian ini tidak dibuat sambil lewa tetapi dibina berasaskan sebuah kurikulum bersepadu (bukan KBSM) oleh rabbi-rabbi yang berpengalaman.

Sebelum mengambil ujian kelayakan itu, setiap calon mestilah terlebih dahulu menguasai ilmu-ilmu taurat di dalam bahasa Hebrew (bahasa rasmi Israel). Ini bermakna walaupun calon tersebut warga Brazil, ia hendaklah fasih berbahasa Hebrew.

Jika di dalam Islam, seseorang yang mahu bergelar ustaz wajib fasih berbahasa Arab dan mantap dari segi Nahu Sorof serta beberap ilmu asas lain seperti Fekah, Tauhid dan Tasawuf. Manakala agama Judais menetapkan bahasa Hebrew adalah wajib dipelajari disamping beberapa ilmu-ilmu lain.

Berikut ialah kitab-kitab yang perlu dihafal dan dikuasai oleh calon-calon Rishon L’Tzion.

* Bab Hichos Shabbos (8 kitab)
* Bab Hilchos Niddah (4 kitab)
* Bab Hilchos Issur V’Heter (3 kitab)
* Bab Hilchos Mikvaos (1 kitab)
* Bab Hilchos Eruvin (1 kitab)
* Bab Hilchos Aveilus (1 kitab)

Perpecahan Suku Di Dalam CR C


Walaupun orang Yahudi pada dasarnya dilihat bersatu tetapi semangat asabiyah kaum tetap kuat dan menular sehingga ke dalam majlis ulama mereka iaitu Chief Rabbinate Council. Di dalam CRC sekarang, jawatan Rishon L’Tzion diwujudkan 2 kerusi iaitu untuk suku Ashkenazi dan suku Sephardi.

Memandangkan terdapat dua pemimpin dalam satu majlis peringkat antarabangsa maka berlaku juga beberapa perselisihan dari segi membuat keputusan dalam sesuatu perkara. Dua jawatan dalam satu majlis ini telah wujud sejak sebelum penubuhan negara Israel lagi. Kedua-dua suku ini mempunyai latar belakang yang berbeza walaupun menetap di negara yang sama.

Pada masa sekarang, jawatan Rishon L’Tzion bagi suku Ashkenazi disandang oleh Rabbi Yona Metzger manakala suku Sephardi pula ialah Rabbi Shlomo Amar.

Kontroversi Rabbi Yona Metzger

Beliau yang dilahirkan pada 1953 adalah pemegang kuat fahaman Zionis dan pernah menang 2 anugerah melalui dua buah buku karangannya. Metzger banyak menulis doa-doa untuk dibaca di synagogue (kuil Yahudi) dan beliau amat terkenal sebagai orang yang banyak menulis.

Pada April 2005, Metzger bersama beberapa pertubuhan Islam dan Kristian bergabung untuk menentang pelancaran Festival Gay Sedunia yang dianjurkan oleh beberapa orang ternama. Walaupun Metzger kelihatan anti-homoseksual, beliau sendiri mempunyai masalah seksual yang kronik.

Pada 2005 juga, Metzger telah dituduh sebagai melakukan gangguan seksual yang teruk kepada seorang wanita dan juga meminta imbuhan secara haram bagi setiap upacara perkahwinan yang diuruskannya. Kes Metzger masih dalam perbicaraan hingga sekarang dan pendakwaan dibuat sendiri oleh Peguam Negara Israel iaitu Menachem Mazuz.

Perbezaan CRC dan Yahudi Ultra-Orthodoks

Walaupun ketua ulama Yahudi dilantik secara undian dari semua rabbi-rabbi seluruh dunia, Yahudi Ultra-Orthodoks adalah berkecuali dalam hal ini. Mereka tidak bersetuju dan tidak bersependapat dengan kelompok-kelompok rabbi di dalam Chief Rabbinate Council (CRC).

Mereka menganggap CRC adalah mainan golongan politik di Israel yang majoritinya dikuasai oleh penganut fahaman Zionis. Maka disebabkan itu, kita dapat melihat fatwa-fatwa yang dikeluarkan oleh kelompok Ultra-Orthodoks seringkali bercanggah dan hanya diamalkan di Mea Sharim.

Ultra-Orthodoks dikenali sebagai kelompok Yahudi yang ekstrem dalam pengamalan ajaran-ajaran Taurat. Mereka agak tersisih dari kelompok Yahudi-Yahudi lain di Israel sehingga ada dikalangan mereka seringkali diejek hatta oleh masyarakat Yahudi sendiri.

Perbezaan paling ketara antara Ultra-Orthodoks dengan Yahudi lain ialah mereka tidak percayakan konsep Tuhan Zion yang dibawa oleh kelompok Ashkenazi dan Sephardi. Bagi mereka, Tuhan Zion adalah ideologi ekstrem yang bertentangan dengan ajaran Taurat sebenar.

Peranan Lain Chief Rabbinate Council

Di antara peranan lain yang dimainkan oleh CRC ialah membuat keputusan bagi semua urusan-urusan;

* Pengurusan pendaftaran perkahwinan dan penceraian
* Membincangkan undang-undang agama
* Mengawal pentadbiran kuil-kuil
* Mengurus selia Kottel (Tembok di sempadan Masjid Al-Aqsa)
* Menentukan sambutan hari-hari suci Judais.
* Menentukan takwim sembahyang kalender Hebrew
* lain-lain yang berkaitan agama Judais.

Read More..
Category : edit post

Takabbur

Posted by Nabiha Al-Khalidiy On 11:11 PM 0 comments


Perjalanan hidup sebagai seorang muslim sebenarnya adalah suatu perjalanan seorang hamba kepada Penciptanya yang mengharapkan keredaan dan keberkatan-Nya. Mengorak langkah perjalanan ini akan menemukan kita dengan pelbagai persoalan dan permasalahan hidup. Persoalan mengenai pengabdian kita terhadap Pencipta dan permasalahan hidup sesama manusia.

Apabila kita berurusan dengan manusia, bermakna kita berhadapan dan berurusan dengan kerenah dan tingkah laku manusia.. Kebiasaannya kita berpendapat bahawa pertimbangan kita dalam menghadapi kerenah manusia atau dalam kita berurusan dengan manusia merupakan suatu pertimbangan yang paling tepat dan terbaik bagi diri kita. Tindak tanduk yang kita lakukan adalah berdasarkan kepada pertimbangan dan budi bicara yang kita rasa amat tepat dan wajar untuk dilakukan. Biarpun dalam keadaan kita bersikap biadap, marah atau acuh tak acuh dan kesannya, ia akan dipertikai oleh orang lain, tetapi pada kita itulah pertimbangan pertama yang paling sesuai dan wajar.

Antara sikap yang amat tidak digemari oleh manusia untuk dihadapi ialah sikap sombong atau takabbur. Walaupun sikap ini tidak menyebabkan kekurangan kepada diri orang lain secara fizikalnya, tetapi mengucapkan perkataan-perkataan yang berbaur ketakburan atau kesombongan menyebabkan orang yang mendengar merasa meluat, tersinggung dan panas hati.

Apakah tanggapan agama terhadap sikap sombong atau takabbur? Adakah Islam amat memberi perhatian kepada sikap ini yang pada lahirnya tidak memberi kesan yang nyata kepada diri pelaku atau orang di sekeliling? Di dalam ruangan ini kita akan cuba mengupas secara terperinci mengenai sikap sombong atau takabbur ini.

Sombong atau takabbur ertinya perasaan tinggi diri oleh si pelaku terhadap satu atau lebih mengenai dirinya dalam aspek-aspek kehidupan. Seseorang itu boleh bersikap sombong kepada orang di sekelilingnya jika dia mendapati kedudukannya lebih tinggi berbanding orang di sekelilingnya. Kesombongan atau ketakabburan juga boleh berlaku apabila manusia mendapati keturunannya, sifat lahiriahnya sama ada cantik, kacak atau perkasa ataupun kaya dari segi material adalah lebih berbanding dengan orang lain.

Di dalam hal ini kita perlu menyedari hakikat bahawa tidak ada satu makhlukpun di dunia ini yang mengatakan bahawa dia berhak untuk berlaku sombong. Ini kerana, kesombongan atau kebanggaan itu menunjukkan kebesaran atau kehebatan diri seseorang. Sedangkan kebesaran atau kehebatan adalah kriteria mutlak yang menjadi milik Allah s.w.t., dan tidak ada seorangpun yang boleh memilikinya. Ini seiring dengan sebuah hadis Qudsi yang bermaksud:

"Allah Ta'ala berfirman (di dalam Hadis Qudsi): Kesombongan adalah selendangKu dan kebesaran adalah sarungKu. Maka barang siapa menyamai-Ku salah satu dari keduanya, maka pasti Kulemparkan ia ke dalam Jahannam dan tidak akan Kupedulikan lagi."

Apabila kita meneliti maksud hadis ini, ia dengan jelas menyatakan bahawa kesombongan dan kebesaran itu hanya milik Allah s.w.t. semata-mata, tetapi bagaimanakah perasaan ini masih boleh timbul di dalam hati manusia?

Sebenarnya, perasaan sombong atau takabbur boleh berlaku apabila timbulnya suatu pandangan terhadap orang lain dengan pandangan yang kecil dan hina. Pandangan tersebut mungkin suatu pandangan yang secara faktanya benar. Umpamanya jika kita membandingkan pendapatan sebanyak RM7000.00 sebulan dengan pendapatan sebanyak RM3500.00 sebulan, tentulah jumlah pendapatan pertama jauh lebih besar berbanding dengan jumlah pendapatan kedua. Walau bagaimanapun, kesombongan itu berlaku apabila pandangan tersebut beriringan dengan anggapan orang yang dipandangnya itu lebih kecil, serba kekurangan atau kurang berharga berbanding dengan dirinya. Ketakabburan berlaku apabila pandangannya itu tidak disertakan dengan kesyukurannya kepada Allah s.w.t. kerana memberi kelebihan tersebut. Secara tidak langsung dia menganggap apa yang dimilikinya itu tidak mempunyai kaitan dengan rahmat atau rezeki yang diberikan oleh Allah. Ataupun dia menganggap bahawa dia sememangnya individu istimewa kerana itu Allah memilihnya untuk memiliki kelebihan tersebut. Maka orang yang sombong dan takabbur itu menganggap dirinya lebih mulia dan terhormat berbanding dengan orang lain. Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud;

"Sombong itu ialah menolak kebenaran dan menghinakan makhluk."

Perkara-perkara yang biasanya menjadi bahan kesombongan atau ketakabburan sebagaimana yang dinyatakan di dalam Kitab Ihya Ulumuddin (tulisan Imam Al-Ghazali) ada tujuh perkara, iaitu ilmu pengetahuan, amalan dan peribadatan, keturunan, keindahan dan kelebihan pada bentuk fizikal, harta kekayaan, kekuatan fizikal dan kuasa atau pengaruh.

1) Dalam aspek ilmu pengetahuan, lazimnya kesombongan itu berlaku apabila seseorang itu telah mendapat pengiktirafan daripada masyarakat tentang ilmu yang ada padanya. Mungkin apabila orang memberi 'title' ustaz, orang alim atau sebagainya, pada anggapannya dia benar-benar telah berilmu. Lantas, orang yang sombong inipun menganggap orang lain itu bodoh dan jahil

Sebaliknya, haruslah disedari bahawa menuntut ilmu pengetahuan bagi seorang muslim sebenarnya adalah untuk membawa diri dan jiwanya kepada suatu keinsafan tentang kedudukannya sebagai seorang hamba dan kedudukan Tuhannya sebagai Pencipta. Ilmu pengetahuan yang dimilikinya seharusnya akan menambahkan lagi nilai ketakwaan kepada Allah s.w.t.. Seiring dengan firman Allah yang bermaksud;

"Bahawasanya yang dapat merasakan takut kepada Allah dari golongan hamba-hamba-Nya itu ialah alim ulama"

2) Amalan dan peribadatan. Memang tidak dinafikan, apabila masyarakat mengiktiraf seseorang itu sebagai orang warak dan bertakwa, bagi mereka yang sombong dan takabbur, dia akan mengira-ngira dia telah banyak melakukan amal ibadat. Dia akan mengharapkan agar dia diberi keutamaan dalam majlis-majlis tertentu, diraikan dan diberi puji-pujian oleh masyarakat.

3) Keturunan atau salasilah. Tanpa sedar, manusia lazimnya akan berbangga dengan keturunan mereka seperti daripada kerabat diraja, golongan aristokrat, bangsawan dan sebagainya. Perasaan ini secara tanpa sedar juga pernah dialami oleh seorang sahabat Rasulullah s.a.w., yakni Abu Dzar. Beliau berkata;

"Pada suatu hari, ketika aku berada di hadapan Rasulullah s.a.w., datanglah seorang yang berkulit hitam. Lantas saya menyapanya, "Hai anak orang hitam" Apabila Rasulullah s.a.w. terdengar sahaja aku menyebut anak orang hitam, baginda menempelakku dengan mengatakan; Hai Abu Dzar, tidak ada kelebihan bagi seseorang yang berketurunan kulit putih di atas orang yang berketurunan kulit hitam. Alangkah menyesalnya aku apabila telah terlanjur mengucapkannya. Lalu akupun membaringkan tubuhku dan berkata kepada orang tersebut; Nah saudara, pijaklah pipiku ini."

4) Kecantikan atau ketampanan. Kesombongan atas sebab ini amat mudah untuk diterima oleh sesiapa sahaja. Suatu anugerah yang Allah berikan sejak dari manusia dilahirkan. Orang yang cantik atau tampan mudah sahaja menjadi tumpuan orang-orang yang berada di sekelilingnya. Seseorang yang tidak mempunyai iman yang kuat, sudah pasti amat mudah merasa bangga dan sombong dengan apa yang ada padanya.

5) Kesombongan amat mudah berlaku di kalangan mereka yang berada dan kaya. Terdapat satu kisah yang menceritakan tentang perkara ini yang boleh dijadikan sebagai suatu pengajaran;

Abu Bakar Al-Hazali berkata:

"Suatu hari kami bersama Hassan. Lalu Ibn al-Ahlam datang kepada kami hendak bercukur. Dia memakai jubah sutera tersusun di atas betis, tersingkap pula bahagian luarnya. Dia berjalan berlenggang. Perbuatannya yang sedemikian itu dilihat oleh Hassan, lalu Hassan pun berkata: "Sombongnya, dia memalingkan pipi dan menampakkan kebodohannya. Engkau akan terlihat kebodohanmu dalam nikmat yang tidak disyukuri dan tidak menggunakannya sesuai dengan perintah Allah serta tidak pula memberikan haknya pada setiap yang memerlukan. Nikmat itu hak Allah dan dengannya syaitan sentiasa mencari mangsa. Demi Allah, seseorang yang berjalan dengan wataknya atau bergerak seperti orang gila itu lebih baik daripada ini." Ibn al-Ahlam mendengar lalu dia kembali dan minta maaf kepadanya. Hassan berkata, "Jangan kau minta maaf padaku, tapi bertaubatlah kepada Allah. Tidakkah engkau dengar firman Allah,

(Yang maksudnya berbunyi) :"Janganlah engkau berjalan di muka bumi dengan sombong, sesungguhnya engkau itu tiada dapat menembusi bumi dan tidak akan engkau sampai setinggi gunung." (Al-Isra' :37)

6) Kekuatan dan keperkasaan tubuh. Manusia amat mudah merasa amat bangga dan sombong apabila memiliki tubuh yang kuat dan perkasa. Kelebihan yang dimilikinya kadang-kadang menjadi bahan untuk mengancam orang lain yang lebih lemah. Atau untuk memaksa orang-orang yang lebih lemah menuruti kemahuannya. Di dalam hal ini, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud;

"Orang yang paling gagah perkasa di antara kamu semua ialah orang yang dapat mengalahkan nafsunya pada waktu marah dan orang yang tersabar di antara kamu semua itu ialah orang yang suka memaafkan kesalahan orang lain padahal ia mampu untuk membalasnya."

7) Manakala perkara yang terakhir sekali yang dinyatakan oleh Imam al-Ghazali sebagai perkara yang boleh menimbulkan kesombongan ialah pengaruh ataupun kuasa.

Pemimpin yang tertipu dengan perasaannya, walau di peringkat mana sekalipun kepimpinannya akan merasa bahawa dirinya sudah cukup hebat berbanding orang lain.

Kesombongan atau takabbur merupakan suatu perasaan yang apabila ia timbul dan tidak dikendalikan dengan baik dan penuh keinsafan, akan menjadikan pemiliknya amat kerugian. Ini kerana sikap ini mampu menjadi penghalang bagi seseorang untuk ditempatkan di dalam syurga, disebabkan sifat ini menjadi pemisah antara seseorang dengan akhlak dan budi pekerti kaum mukmin keseluruhannya. Sebagaimana yang telah dinyatakan sebelum ini, takabbur atau sombong adalah rasa tinggi diri berbanding dengan orang lain. Seseorang yang memiliki sifat ini sudah pasti tidak mempunyai perasaan menyayangi saudara mukminnya yang lain sebagaimana dia menyayangi dirinya sendiri.

Orang yang sombong juga tidak akan dapat meninggalkan perasaan dendam, memberi nasihat kepada saudara muslim yang lain secara jujur atau ikhlas dan tidak dapat melaksanakan budi pekerti yang baik.

Sifat sombong atau takabbur juga sebenarnya menyebabkan seseorang itu awal-awal lagi akan disisihkan oleh Allah swt di dunia sebagaimana firman-Nya yang bermaksud;

"Nanti Aku palingkan daripada ayat-ayatKu orang-orang yang sombong di muka bumi tanpa kebenaran." (Al-A'raf: 146)

Selain itu natijah kesombongan juga, menyebabkan pintu hati pengamalnya tertutup dari menerima hidayah dan kebaikan dari Allah sebagaimana firman Allah yang bermaksud;

"Demikianlah Allah menutup tiap-tiap hati orang yang sombong lagi ganas (memaksa rakyat)." (Surah Al-Mukmin : 35)

Apa yang lebih malang, pemilik sifat takabbur yang menafikan hak-hak Allah akan ditempatkan ke dalam neraka seiring dengan firman Allah yang bermaksud:

"Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan dirinya dari menyembahKu, mereka itu akan masuk neraka Jahannam dengan menderita kehinaan." (Surah Al-Mu'min: 60)

Dan ini diperkukuhkan lagi oleh dua buah hadis yang berbunyi yang bermaksud;

"Tidak akan masuk ke dalam syurga orang yang di dalam hatinya terdapat seberat biji sawi dari sifat kesombongan."

Manakala Hadith kedua bermaksud;

"Tidak akan masuk syurga seseorang yang bakhil dan berbuat sewenang-wenang (kerana kesombongannya)."

Sebagai suatu kesimpulan, sesungguhnya sifat sombong atau takabbur, selain ia dicela di dunia oleh Allah serta orang-orang mukmin, ia adalah sifat yang amat merugikan seseorang itu di dunia dan di akhirat. Apakah kita sebagai hamba yang penuh kedhaifan dan serba kekurangan ini layak untuk menganggap diri kita hebat? Sebagai manusia, Allah menganugerahkan kepada kita kelebihan-kelebihan tertentu agar kita menjadi lebih mudah untuk meniti perjalanan hidup ke arah kehidupan yang lebih abadi. Kelebihan yang diberi bukanlah bererti yang kita diberi izin untuk mendabik dada kepada orang lain. Suatu hakikat yang perlu kita sama-sama sedari ialah, tidak ada manusia yang sempurna dari segala segi. Di mana kelebihan manusia, di situlah sebenarnya kelemahan atau kekurangannya berada.

Maka kita sewajarnya sama-sama menginsafi bahawa keagungan, kehebatan dan sifat sombong itu hanya dimiliki oleh Allah. Dan bagi manusia, sifat sombong atau takabbur sebaik-baiknya dengan dengan sifat tawaddhu'. Sifat tawaddhu' adalah sifat rendah diri dan menginsafi diri bahawa manusia itu perlu sentiasa berada di bawah ketundukan dan ketaat kepada Allah s.w.t. Sifat inilah sebenarnya yang mengangkat darjat manusia di sisi Allah s.w.t. Sebagaimana hadis Rasulullah yang bermaksud;

"Barang siapa bertawaddhu' kerana Allah, maka akan diangkat darjatnya oleh Allah, barang siapa yang sombong, maka akan dijatuhkan darjatnya oleh Allah, barang siapa bersikap bersederhana (tidak boros dan tidak pula kikir), maka akan dijadikan kaya oleh Allah, barang siapa membazir, maka akan dijadikan miskin oleh Allah dan barang siapa memperbanyak ingatan kepada Allah, maka dicintai oleh Allah."

Read More..
Category : edit post

Maskahwin

Posted by Nabiha Al-Khalidiy On 11:04 PM 0 comments

1. PENGERTIAN MASKAHWIN ( MAHAR ).

Maskahwin adalah pemberian yang wajib diberi oleh suami kepada isterinya dengan sebab perkahwinan. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :

" Berikanlah kepada orang-orang perempuan itu maskahwin mereka ". ( Surah An-Nisaa' - Ayat 4 )

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :

"Carilah untuk dijadikan maskahwin walaupun sebentuk cincin yang diperbuat daripada besi ." ( Riwayat Bukhari )

Dari hadith di atas nyatalah bahawa maskahwin boleh dijadikan daripada apa sahaja asalkan benda itu berguna dan berfaedah sama ada berupa wang ,barang atau sesuatu yang bermanafaat sebagaimana diberitakan Rasulullah s.a.w. pernah mengkahwinkan seorang lelaki yang tiada memiliki sesuatu pun untuk dijadikannya maskahwin lalu Rasulullah s.a.w. bertanya kepada lelaki itu, adakah pada engkau (hafaz ) sedikit daripada ayat Al-Qur'an, lelaki itu menyahut bahawa ia mengingati beberapa surah kemudian Rasulullah s.a.w. pun mengahwinkan lelaki itu dengan bermaskahwinkan surah yang diajarkan kepada perempuan yang bakal menjadi isterinya.

Maskahwin itu tidak dihadkan oleh syarak banyak atau sedikit, jadi untuk menentukan banyak atau sedikitnya itu terpulanglah kepada dua pihak di atas persetujuannya dan berdasarkan taraf atau darjat pengantin tersebut dan hukum syarak tidak menggalakkan maskahwin yang terlalu tinggi yang menyebabkan kesukaran bagi pihak lelaki.

Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

" Sebaik-baik maskahwin ialah yang lebih rendah ". ( Riwayat Abu Daud )

Dan sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

" Sesungguhnya yang besar berkat nikah ialah yang sederhana belanjanya ". ( Riwayat Ahmad )

2. BAHAGIAN-BAHAGIAN MAHAR :

a) Mahar Misil. Iaitu Mahar yang dinilai mengikut maskahwin saudara-saudara perempuan yang telah berkahwin lebih dahulu dan hendaklah yang dinilai sama dengan maskahwin keluarganya yang paling dekat sekali seperti kakak, ibu saudaranya dan seterusnya disamping menilaikan keadaan perempuan itu sendiri dari segi kecantikan, kekayaan, pelajaran dan sebagainya.

b) Mahar Musamma. Iaitu maskahwin yang telah ditetapkan dan telah dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak dengan tidak memandang kepada nilai maskahwin saudara-saudara perempuan itu.

3. HUKUM MENYEBUT MASKAHWIN DI WAKTU AQAD NIKAH:

i ) Wajib.

a. Jika bakal isteri itu seorang budak yang masih kecil, gila atau bodoh sedangkan bakal suami ingin membayar mahar yang lebih tinggi dari mahar yang sepatutnya ( Mahar Misil ).

b. Jika bakal isteri yang sudah baligh bijak dan boleh menguruskan dirinya sendiri dan telah membenarkan wali untuk mengkahwinkannya tetapi ia tidak menyerahkan kepada wali untuk menetapkan maskahwinnya.

c. Jika bakal suami itu tidak boleh menguruskan hal dirinya sendiri seperti masih budak, gila atau bodoh dan sebelum akad telah mendapat persetujuan dari bakal isteri tersebut tentang bayaran maskahwin kurang daripada mahar yang sepatutnya, oleh yang demikian maskahwin wajib dinyatakan sebagaimana yang dipersetujui. Maksud wajib disini bukanlah bererti perkahwinan itu tidak sah, tetapi perbuatan itu dianggap berdosa dan maskahwin dibayar mengikut kadar yang sepatutnya ( Mahar Misil ).

ii ) Sunat.

Rasulullah s.a.w tidak pernah meninggalkan dari menyebutnya semasa akad, apabila ia menikahkan orang lain. Dengan menyebutnya semasa akad berlangsung dapat mengelakkan dari berlaku perselisihan, berhubung dengannya, disamping dapat membezakan diantara perkahwinan biasa dengan perkahwinan pada seorang perempuan yang menghebahkan dirinya kepada Rasulullah s.a.w. tanpa mahar. Sekiranya mahar tidak di sebut dimasa akad, tidaklah bererti akad perkahwinan itu tidak sah tetapi makruh jika mahar itu tidak disebut.

4. WAJIB MASKAHWIN

Maskahwin itu wajib dibayar mengikut sebagaimana yang tersebut didalam akad jika dinyatakan dimasa akad dan maskahwin itu wajib dibayar dengan keadaan-keadaan yang berikut:-

i) Apabila suami menetapkan yang ia akan membayarnya sebelum dukhul dan dipersetujui oleh pihak isteri, oleh yang demikian isteri berhak melarang atau meghalang suami dari mensetubuhinya sehingga suami tersebut menentukan kadar maskahwin yang akan diberinya sama ada dengan cara tunai atau hutang, jika dijanjikan tunai maka pihak isteri berhak menghalang suami tersebut dari mensetubuhinya sehingga dijelaskan maskahwinnya itu.

ii) Bila penetapan maskahwin itu dibuat oleh kadi dengan sebab keengkaran pihak suami dari membuat ketetapan atau dengan sebab perbalahan atau perselisihan kedua belah pihak tentang kadar maskahwin tersebut dan bila kadi menentukannya akan maskahwin tersebut, hendaklah dibayar tunai (tidak boleh hutang).

5. GUGUR SEPARUH MASKAHWIN

Apabila berlaku talak sebelum persetubuhan maka gugurlah separuh maskahwin sebagaimana firman Allah ta'ala Yang bermaksud: "Dan jika kamu menceraikan perempuan sebelum persetubuhan sedangkan kamu telah menentukan kepada perempuan tersebut akan maskahwinnya , maka bagi perempuan itu setengah dari apa yang kamu tentukan itu".

Gugur separuh maskahwin sekiranya perceraian ini berlaku berpunca dari pihak suami, seperti suami jadi murtad atau suami menganut Islam dan isterinya tidak. Tetapi sekiranya berlaku perceraian itu berpunca dari pihak isteri, seperti suami memfasakhkan perkahwinan tersebut dengan sebab kecacatan yang ada pada isteri maka maskahwin itu akan gugur semuanya.

6. MATI SUAMI ATAU ISTERI SEBELUM PERSETUBUHAN

Jika seorang suami meninggal dunia sebelum berlaku persetubuhan, pihak waris si suami wajib membayar maskahwin itu sepenuhnya kepada bekas isterinya dan jika maskahwin itu belum ditentukan kadarnya, maka wajib dibayar dengan nilai mahar misil.

Sebaliknya pula jika seorang isteri meninggal dunia sebelum berlaku persetubuhan, pihak suami wajib membayar maskahwin sepenuhnya kepada waris bekas isterinya jika maskahwin itu belum dijelaskan lagi.

Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. Yang bermaksud:

"Dari Alqamah katanya seorang perempuan telah berkahwin dengan seorang lelaki kemudian lelaki itu mati sebelum sampai mensetubuhi isterinya itu dan maskahwin pun belum ditentukan kadarnya. Kata Ulqamah, mereka mengadu hal tersebut kepada Abdullah, maka Abdullah berpendapat perempuan itu berhak mendapat mahar misil sepenuhnya, dan perempuan itu berhak mendapat pusaka dan wajib pula dengan bereddah. Maka ketika itu Ibnu Ma'kul bin Sanan Al- Saja'i menjelaskan bahawa sesungguhnya Nabi s.a.w. telah memutuskan terhadap Baraq bin Wasaq seperti yang dibuat oleh Abdullah tadi". (Riwayat Al-Tarmidzi)

7. MUT'AH

Mut'ah bererti satu pemberian dari suami kepada isteri sewaktu ia menceraikannya. Pemberian ini adalah wajib diberikan sekiranya perceraian itu berlaku dengan kehendak suami, bukan kemahuan isteri. Banyaknya pemberian itu adalah berdasarkan kepada persetujuan atau keredhaan kedua-dua belah pihak, di samping mempertimbangkan keadaan kedua-duanya sama ada kaya atau miskin dan sebagainya tidak kurang dari separuh mahar.

Firman Allah: Ertinya : Tenangkan olehmu hati mereka dengan pemberian dan lepaskanlah mereka dengan cara yang baik. ( Surah Al-Ahzab ayat 49)

Read More..
Category : edit post

Wanita-wanita Yang Haram Dikahwini

Posted by Nabiha Al-Khalidiy On 4:43 AM 1 comments

1. Perempuan-perempuan yang haram dikahwini itu terbahagi kepada dua bahagian:

i. Haram buat selamanya.
ii. Haram buat sementara waktu.

2. Sebab-sebab haram dikahwini:

i. Haram dengan sebab keturunan.
ii. Haram dengan sebab susuan.
iii. Haram dengan sebab persemendaan. ( Musyaharah )

3. Haram dengan sebab keturunan:

i. Ibu dan nenek hingga ke atas.
ii. Anak dan cucu hingga kebawah.
iii. Adik-beradik perempuan seibu-sebapa atau sebapa atau seibu sahaja.
iv. Ibu saudara sebelah bapa ( adik beradik perempuan sebelah bapa ) hingga ke atas.
v. Ibu saudara sebelah ibu ( adik-beradik perempuan sebelah ibu ) hingga ke atas.
vi. Anak saudara dari adik-beradik lelaki hingga kebawah.
vii. Anak saudara dari adik-beradik perempuan hingga ke bawah. - Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

"Diharamkan ke atas kamu mengahwini ibu kamu, anak saudara, emak saudara sebelah bapa , emak saudara sebelah ibu , anak saudara dari saudara lelaki dan anak saudara dari saudara perempuan kamu ". ( Surah An-Nisaa' - Ayat 22 )

4. Haram dengan sebab susuan :

i. Ibu yang menyusukan.
ii. Saudara perempuan sesusuan. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :

"Diharamkan ibu-ibu yang menyusukan kamu dan saudara- sudara kamu sepersusuan". ( Surah An-Nisaa' - Ayat 23 )

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

"Haram dari susuan sebagaimana haram dari keturunan ". (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Perempuan-perempuan yang haram dengan sebab susuan adalah sama dengan orang-orang yang haram dengan sebab keturunan.
5. Syarat-syarat haram dengan sebab susuan :

i. Ibu yang telah menyusukan itu telah baligh.
ii. Anak yang disusukan itu berusia dua tahun. Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

"Tidaklah susuan itu melainkan dalam lingkungan umur dua tahun". ( Riwayat DaruQutni )


iii. Bilangan menyusu sampai lima kali yang berasingan dan setiap kali menyusu mesti sampai kenyang. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

" Adalah pada ayat yang diturunkan daripada Al-Quraan ialah sepuluh kali susu yang maklum lagi mengharamkan kemudian dimansuhkan dengan lima kali susu sahaja". ( Riwayat Muslim )


iv. Susu yang diberi kepada kanak-kanak itu mestilah ditelan dan sampai ke perut kanak-kanak itu pada kelima-limanya. Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

"Tidak diharamkan berkahwin dari susuan itu melainkan susuan yang sampai kepada perut kanak-kanak itu dan penyusuan itu pula mesti budak yang menyusu itu belum berumur dua tahun".

Sekiranya tidak memenuhi syarat-syarat yang tersebut maka tidaklah haram berkahwin di antara ibu yang menyusukan dengan anak yang disusukan dan seterusnya.

6. Haram yang disebabkan persemendaan ( Musyaharah ) :

i. Ibu mertua samada dari keturunan atau penyusuan.
ii. Ibu tiri atau nenek tiri hingga ke atas.
iii. Menantu perempuan ( isteri anak ) atau isteri cucu hingga ke atas.
iv. Anak tiri dengan syarat sudah mensetubuhi ibunya, jika belum disetubuhi kemudian diceraikan maka tidak haram mengahwini anak tirinya itu samada anak tiri itu dari keturunan atau penyusuan. Sebagaimana firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

" Dan diharamkan ibu isteri kamu dan anak tiri yang di dalam pemeliharaan kamu jika ibunya telah kamu setubuhi , maka jika ibunya belum kamu setubuhi maka bolehlah kamu mengahwini anak tiri itu dan begitu juga haram mengahwini isteri anak kamu yang sejati ". ( Surah An - Nisaa' - Ayat 23 )

Dan firman Allah s.w.t. lagi yang bermaksud:

" Janganlah kamu kahwini perempuan-perempuan yang telah dikahwini oleh bapa kamu ( ibu tiri ) ". ( Surah An-Nisaa' - Ayat 22 )

7. Perempuan-perempuan yang haram dikahwini buat sementara waktu dengan sebab menghimpunkannya :

i. Saudara perempuan sebelah isteri. Sebagaimana firman Allah s.w.t. yang bermaksud: " Dan haram kamu menghimpunkan dua perempuan yang bersaudara kecuali apa yang telah lalu ". ( Surah An- Nisaa' - Ayat 23 )
ii. Anak saudara isteri sebelah bapa.
iii. Anak saudara isteri sebelah bapa.
iv. Anak saudara isteri dari saudara lelaki.
v. Anak saudara isteri dari saudara perempuan.

Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: "Tidak boleh dikahwini seorang perempuan yang dihimpunkan dengan emak saudara sebelah bapadan tidak boleh antara emak saudara sebelah bapa dengan anak perempuan saudara lelaki dan tidak boleh dikahwini seorang perempuan dihimpun dengan emak saudaranya sebelah ibu begitu juga di antara emak saudara sebelah ibu dengan anak perempuan dari saudara perempuan tidak yang besar dengan yang kecil dan tidak yang kecil dengan yang besar ". ( Riwayat At -Tirmidzi )

Read More..
Category : edit post

Adab Terhadap Diri Sendiri

Posted by Nabiha Al-Khalidiy On 4:15 AM 0 comments

Kaum muslimin percaya bahwa kebahagian di dunia dan akhirat bergantung pada perilaku dan adab terhadap diri sendiri dan pada kesucian serta kebersihan jiwa. Begitu juga dengan kesengsaraan disebabkan kerosakan dan kekotoran jiwa hal ini nyata dalam firman Allah :

“ Sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu, dan sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya”
( Asy-Syam [ 91] 9-10)

Rasullullah bersabda :

“ Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bila melakukan sesuatu dosa terjadilah bintik hitam dalam hatinya. Bila dia bertaubat dan menghentikan dosanya dan mencela perbuatannya, hatinya akan bersinar kembali, dan apabila dosanya bertambah, akan bertambah pula bintik hitam itu hingga hatinya akan tertutup….”
( Nasa’i dan Tarmizi, hadis hasan sahih)

Oleh yang demikian kaum muslim haruslah berusaha menjaga dirinya dengan membersih dan menyucikan jiwanya. Kerana jiwa yang suci dan bersih dapat menjauhkan diri dari melakukan perbuatan-perbuatan yang buruk dan boleh merosakkan. Beberapa langkah yang perlu di lalui untuk mencapai kesucian jiwa iaitu :

a. Taubat

Taubat yang bermaksud menyucikan diri dari dosa dan maksiat, menyesali segala dosa yang telah dilakukan dan berazam untuk tidak mengulangi. Seperti firman Allah yang bermaksud:

“ Hai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang seikhlas-ikhlasnya, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menutupi kesalahan-kesalahanmu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai….”
(at-Tahrim[66] : 8)

Dan sabda Rasullullah :

“ Wahai manusia, bertaubatlah kepada Allah kerana aku bertaubat setiap hari seratus kali ”
( Muslim )

b. Muraqabah ( Pengawasan )

Umat Islam sentiasa merasakan setiap perbuatan dan pergerakan diawasi oleh Allah. Sehingga mereka yakin bahawa Allah sentiasa memerhatikan dan megetahui segala yang nyata mahupun tersembunyi.Dengan keyakinan itulah manusia merasakan jiwanya tenang mengingati Allah dan puas mendampingiNYA. Ia di nyatakan dalam firman Allah :

“ Dan siapakah yang lebih baik agamanya daripada orang yang ikhlas menyerahkan dirinya kepada Allah, sedang dia pun mengerjakan kebaikan .....”
( an-Nisa [4] : 125 )

Rasullullah juga bersabda :

” Beribadahlah kamu kepada Allah seperti kamu melihat-NYA, apabila kamu tidak melihat Allah, sesungguhnya Dia melihatmu ......”
(Muttafaq ’alaih)

c. Muhassabah

Melakukan perhitungan terhadap diri sendiri di atas apa yang telah dilakukan demi mengecapi kebahagian di dunia dan akhirat. Sentiasa membuat perhitungan dengan apa yang telah dilakukan. Andainya apa yang dilakukan adalah perkara-perkara yang dilarang, maka mestilah segera beristigfar menyesali perbuatan dan segera bertaubat dan membuat kebaikan. Inilah yang dimaksudkan dengan muhassabah terhadap diri sendiri.Ianya satu cara memperbaiki, mendidik, menyuci dan membersihkan diri

Allah berfirman :

“ Hai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memerhatikan apa yang telah dilakukannya untuk hari esok (akhirat), dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan. ”
(al-Hasyr [59] : 18)

d. Mujahadah (Berjuang Melawan Hawa Nafsu)

Hawa Nafsu adalah musuh yang paling besar bagi setiap individu Islam. Hawa nafsu hanya cenderung untuk melakukan kejahatan dan menjauhi kebaikan.

Allah telah berfirman :

“ Dan Aku tidak membebaskan diriku (dari kesalahan), kerana sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan.....”
(Yusuf [12] : 53 )

Sebagai umat Islam seharusnya kita berjuang untuk melawan hawa nafsu jangan sampai ianya menguasai diri kita. Didiklah nafsu agar tenang dan tenteram serta suci dan bersih. Allah berfirman :

“ Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keredhaan) Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar beserta orang-orang yang berbuat baik.”
(al-Ankabut : 69)


Sebagai umat Islam kita mestilah sentiasa berjuang di jalan Allah demi memastikan nafsu terkawal, baik, bersih, suci dan tenteram serta memperolehi kemuliaan dan keredhaan dari Allah S.W.T.


Read More..
Category : edit post

Followers

Pautan

Komuniti Blogger Azhari