Saya diminta bercakap berkenaan tasawwuf dan tariqah tasawwuf dalam persidangan ini. Bagaimana saya hendak mencakapkan tasawwuf kerana ia adalah jenis jiwa ruh kebatinan? Bagaimana hendak diceramahkan kerana ia cahaya dan keimanan? Kita sekarang sedang hidup dalam dunia yang berserabut dengan gejala-gejala kebendaan fikiran dan usaha-usaha yang berlumba-lumba untuk hawa nafsu syahwat dan keinginan syaitan, hati yang dinoda tamak haloba angkara murka kejahilan dan kekeliruan melainkan orang yang arif bijaksana dan beriman.
Untuk tahu dan mengenal tasawwuf itu, cuba buang dan jauhkan diri (akan) sebarang larangan Allah Ta‘ala. Hampir dan kerjakanlah apa-apa yang disuruh Allah Ta‘ala. Bersihkan dan heningkan fikiran dan hati dengan nur dan petunjuk Tuhan. Jauhkanlah dari fitnah dunia dan bisikan syaitan. Amalkan sifat-sifat mahmudah (terpuji). Buangkan sifat-sifat mazmumah (tercela). Bangunkanlah insan kamil. Tinggalkanlah dunia yang fana ini dan berhadaplah kepada negeri akhirat yang kekal. Hadaplah dunia ini dengan penuh rasa kemanusiaan dan persaudaraan sejagat. Isilah budi pekerti dengan timbang rasa keadilan dan ihsan. Hiasilah diri dengan adab akhlaq yang bersih baik; taat mengerjakan ibadah. Kasih kepada Allah Ta‘ala dan mahluknya, asyik bercinta dengan kecantikan kesempurnaan Tuhan Yang Maha Tinggi Maha Besar, berkecimpung di lautan rahmat dan keridaan Tuhan. Peranglah nafsu dan syaitan. Kenalah diri yang sebenarnya. Dengan demikian, nampaklah kesucian dan kebenaran tasawwuf itu.
Tasawwuf Itu Nyawa Islam
Tasawwuf itu adalah puncak yang tertinggi sekali dalam alam fikiran dan cita rasa hati Islam. Ini ternyata dalam tawarikh perkembangan keemasan Islam. Tasawwuf menghembuskan jiwa yang dinamik, sanggup berhabis-habisan berkorban-memelihara dan mempertahankan aqidah dan prinsip-prinsip Islam beriman yang sempurna; sempurna dalam urusan hidup. Kenal kepada rahsia dan hikmah hidup. Menyeru dan memimpin kepada peri kemanusiaan yang tinggi suci dan kepada ketuhanan dengan penuh jujur dan amanah. Bersungguh-sungguh bertolong-menolong atas perkara taat dan taqwa. Pesan-memesan, ingat-beringat atas perkara haq dan sabar, berlumba-lumba berbuat kebajikan. Tasawwuf itu adalah ilmu batin sebagai jiwa dan nyawa manakala ilmu zahir itu sebagai jasadnya.
Al-Quran Dan Tasawwuf
Daripada ayat-ayat al-Quran diambil sandaran dan pegangan tasawwuf dan tariqah-tariqah; berpaling dari dunia dan berhadap kepada yang menjadikan hidup dan dunia alam buana ini, berhadap kepada Tuhan dengan penuh harapan kasih dan fana fillah. Di antara ayat-ayat itu:
“Ketahuilah oleh kamu! Sesungguhnya di dunia ini adalah sukan main-mainan, (hiburan), perhiasan, bermegah-megah antara kamu, berlumba-lumba banyak harta dan anak-anak; umpama yang demikian itu ialah seperti air hujan yang menakjubkan orang-orang kafir dengan memandang kesuburan siraman air itu kepada tumbuh-tumbuhannya, kemudian tumbuh-tumbuhan itu menjadi kering, lalu pula berubah kuning layu, kemudian beralih menjadi reput hancur. Di kampung akhirat itu nanti azab seksa yang keras kepada orang-orang kafir dan keampunan serta keridaan daripada Allah untuk orang-orang mukmin. Dan tidaklah sekali-kali hidup dunia ini melainkan hidup kesukaan saduran (luntur jua).” (al-Hadid :20)
Seluruh ayat al-Quran itu tujuannya mengharapkan dan memimpin diri manusia itu kepada ruh yang suci, menghadap kembali kepada Tuhan yang menjadikan sekalian makhluk ini, balik ke negeri akhirat yang kekal abadi. Al-Quran adalah tegas sekali mengatakan:
“Aku tidaklah menjadikan jin dan manusia melainkan ialah untuk menyembah kepada Aku.” (al-Dhariyat: 56)
Semua dalam alam wujud ini menurut fitrahnya ingat dan tunduk bertasbih kepada Allah Ta‘ala:
“Bertasbih bagi-Nya oleh langit-langit dan bumi dan mana-mana makhluk pada kedua-duanya.”
Mulai dari zaman Rasulullah s.a.w. lagi, ketika al-Quran masih bersambung-sambung turun, ada golongan manusia yang banyak sekali beribadat dan banyak membaca dan menghafaz al-Quran itu. Golongan ini terkenal Ahli al-Suffah, yang menjadi pangkal menimbulkan ahli tasawwuf itu. Inilah sedikit pandangan daripada al-Quran. Mazhab ahli tasawwuf itu:
Kasih mereka kepada Allah, kasih Allah kepada insan; kasih insan kepada Allah; kasihlah yang menegakkan hidup. Kerana itulah kasihkan Allah itulah pujaan hidup ahli-ahli tasawwuf itu mulai dari jasmaninya lantas keruhanian sentiasa kasihkan Allah. Lidahnya sentiasa berzikir dan bertasbih. Tiap nafas turun naiknya, keluar masuknya dengan berzikir. Hati budinya terus dengan zikir yang sentiasa.
Jiwa mereka taat beribadat dan berjihad melawan nafsu, melawan kezaliman, berjuang dalam lapangan umum, meninggikan kalimah Allah hingga jadi agama Islam itu pegangan hidup dan jalan hidupnya semata-mata kerana Allah Ta‘ala.
Rasulullah s.a.w. Dengan Hidup Tasawwuf
Mula hidupnya dengan mempelajari rahsia dan hikmah alam dengan bertapa di Gua Hira’ sehingga menjadi rasul. Rasulullah s.a.w. sangat kuat bertahajjud, istighfar, zikir, sembahyang hingga bengkak-bengkak kakinya kerana lama berdiri qiyam. Rasulullah s.a.w. menangis kerana takutkan Tuhannya. Rasulullah s.a.w. menunjukkan kepada Abu Hurairah rupa dunia yang kotor ini dengan contoh satu lopak yang bertimbun-timbun bangkai manusia dan binatang dan barang-barang buruk buangan. Semuanya ini terang dalam hadith yang sahih.
Rasulullah s.a.w. mengibaratkan dunia ini tidak pun bernilai timbangannya seberat sayap nyamuk. Dalam suatu Hadith Qudsi: “Aku adalah di sisi orang-orang yang pecah remuk redam hatinya.” Rasulullah s.a.w. tidur di atas tikar yang kasar. Badannya berlarik bekas tikar itu di kedua lambungnya hingga menangis Sayyidina Umar dengan penderitaan nabi itu.
Banyak sungguh hadith-hadith yang dipegang oleh ahli tasawwuf itu. Pada orang tasawwuf, siapa yang hendak dunia – seperti sabda Rasulullah itu – silalah dan siapa yang hendakkan akhirat dan keridaan Tuhannya jalan atau tariqahnya adalah terang dan nyata.
Keperluan Tasawwuf Di Zaman Ini
Apakah gunanya tasawwuf di zaman pembangunan Negara kita sekarang ini? Tidakkah akan mematahkan semangat usaha dan kerja pembangunan?!
Tasawwuf yang betul benar tidak menjadi sebarang halangan kepada pembangunan malah memberikan semangat yang bersih dan selamat kerana adalah berdasarkan peri kemanusiaan yang sempurna. Kekayaan hendaklah dilakukan dan digunakan semata-mata untuk peri kemanusiaan dan kebajikan. Untuk seorang tasawwuf cukup sebagaimana yang digambarkan pada sifat nabi, sahabat-sahabat dan ulama-ulama.
Pembangunan kebendaan dengan tidak disertai pembangunan jiwa dan ruh samalah seperti membuat lembaga manusia yang tak bernyawa dan membangunkan ruh sahaja samalah seperti ruh yang tidak berjasad.
Syara‘ dan haqiqat perlu sama maju. Masing-masing dalam pembangunan negara hendaklah mengambil lapang masing-masing. Susu adalah minuman yang lazat dan baik jika ada orang yang tak boleh minum teh tak suka minum kopi dan yang suka kopi tidak sukia teh; ambillah minuman masing-masing.
(Dipetik dari buku “Manifesto Intisari dan Rahsia dalam Pemikiran dan Pengalaman Islami” susunan Mohd Zaidi Abdullah. Beliau juga merupakan penyumbang artikel dan penyunting buku ini.)
*Tasawwuf itulah adalah ruh dalam pengamalan Islami. Tanpa ruh, maka tidaklah hidup jasad itu. Peranan tasawwuf sungguh besar dalam kehidupan masa kini. Apa tidaknya, kerana tasawwuf itu sendiri asasnya berdiri di atas prinsip tauhid dan mengesakan Allah. Kemudian ianya dihiasi dengan akhlaq yang mulia dan baik. Maka, melalui tasawwuf peradaban kaum Muslimin terbina. Apa tidaknya, jika masyarakat mempunyai akhlaq yang buruk, hidup mengikut nafsu syahwat dan kebinatangan, maka akan musnahlah sesuatu peradaban itu. Seperti yang disebut Prof. Dr. Burhanuddin al-Helmi di atas, melalui tasawwuf terbinalah episod baru peradaban kaum muslimin yang gemilang. Peradaban yang gemilang terbentuk apabila rakyatnya terdiri daripada mereka yang berakhlaq mulia, mata hatinya tajam, hatinya penuh dengan perasaan kasih sayang dan saling menghormati. Hati mereka sentiasa mengingati Allah. Apakah yang akan terjadi kepada sesebuah institusi korporat sekiranya para pekerjanya mempunyai akhlaq yang cemar? Masing-masing ingin menjatuhkan di antara satu sama lain. Majikan bersifat zalim dan kasar kepada pekerjanya dan para pekerja tidak amanah dalam menjalankan tugas? Sudah pasti institusi korporat tersebut akan menuju kehancuran. Begitulah juga halnya dalam sesebuah peradaban. Mungkin ada antara yang tidak setuju dengan istilah tasawwuf, tetapi tasawwuf itu tidak lain daripada maksud hadith Rasulullah s.a.w. iaitu: “Kamu beribadat seolah-olah kamu melihat Allah, dan sekiranya kamu tidak melihatNya, sesungguhnya dia melihat kamu.” Itulah dia tujuan tasawwuf, untuk mencapai peringkat ihsan.
Oleh Prof. Dr. Burhanuddin al-Helmi
Penjelasan Tentang Rabitah Bagi Yang Ingin Mengetahui.
Sedikit penjelasan mengenai Rābiṭah yang mana akhir-akhir ini ada orang mempersoalkan tentang rābiṭah. Bukan menegakkan benda yang sudah ada akan tetapi memberitahu bahawa amalan ini sudah lama ada cuma kita saja yang tidak tahu dan tidak ambil peduli. Kita lebih suka menunding jari perkara yang kita tahu. Dalam masa yang sama kita tidak sedar kita masih lagi awwam dalam banyak perkara agama tetapi berlagak memberi fatwa menyesatkan tok-tok guru yang sudah lama menekuni ilmu tasawuf. Keterangan ini saya petik dari buku Dhiyaul Murid Syeikh Daud al-Fathani Pedoman Zikir Menuju Ilahi. Moga-moga terlerai benang yang kusut, lurus rambut yang masai dan terbit bauan harum dari ikhtilaf.
Pengertian rabithah jika diertikan dalam bahasa Melayu ialah “mengkhayalkan rupa guru ketika berzikir atau pada waktu selainnya”. Mengenai yang tersebut ini selalu dikecam oleh golongan reformis atau tajdid atau pembaru Islam masa kini. Oleh itu saya berasa perlu memberikan penjelasan mengenainya walaupun penjelasan yang agak ringkas pernah saya tulis dalam buku Perkembangan Ilmu Tasawuf dan Tokoh-tokohnya di Nusantara (Al-Ikhlas, Surabaya, 1980, hlm. 161-169). Rabithah atau mengkhayalkan rupa guru juga disebut oleh Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani di dalam kitab Dhiyaul Murid yang ditransliterasi ini (lihat adab ketika berzikir urutan keempat belas). Mengenai yang tersebut bukanlah merupakan pendapat Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani tetapi adalah menjadi ketentuan dan pegangan semua ulama tasawuf atau tegasnya telah ijma’ atau ittifaq di kalangan mereka. Tidak terdapat seorang pun ulama tasawuf yang mengamalkan thariqat menolak perkara rabithah itu. Sebelum memberikan keterangan lanjut mengenai rabithah, di bawah saya saya sebutkan beberapa orang ulama mu’tabar yang membicarakan rabithah sedang mereka tidak menolaknya, di antara mereka ialah:
1) Syeikh Abdul Wahhab al-Sya’rani di dalam Madarijus Salikin dan al-Bahrul Maurud
2) Syeikh ‘Athaullah al-Askandari asy-Shazili di dalam Miftahul Falah
3) Syeikh Tajuddin al-Hanafi di dalam at-Tajiyah
4) Syeikh Ibnu Abi Daud al-Hanbali di dalam Tuhfatul ‘Ibad
5) Imam al-Ghazali di dalam Ihya’ Ulumid Din
6) Syeikh Utsman Wahabi di dalam ad-Durrul Ghali
7) As-Saiyid Abdullah al-‘Aidrus bin Saiyid Abi Bakar as-Sakran bin Saiyid Abdur Rahman as-Saqaf di dalam Zahwul Mabasim
8) Saiyid Abdul Qadir al-‘Aidrus
9) Syeikh Ali al-Hanafi al-Idrisi di dalam ar-Risalatul Maimuniyah fi Tauhidil Jurumiyah
10) As-Saiyid Muhammad bin Abdul Karim as-Sammani al-Madani di dalam an-Nafahatul Ilahiyah
11) Syeikh Adh-Dhiyauddin al-Kamasykhanawi an-Naqsyabandi di dalam Mutammimat Jami’il Ushul fi Aulia’ dan ramai lagi.
Dikalangan ulama mu’tabar dunia Melayu yang membicarakan perihal rabithah dan membenarkannya, antaranya ialah:
1) Syeikh Nuruddin ar-Raniri di dalam Jawahirul Ulum.
2) Syeikh Abdul Rauf bin Ali al-Fansuri di dalam Kifayatul Muhtajin dan ‘Umdatul Muhtajin
3) Syeikh Faqih Jalaluddin bin Kamaluddin al-Asyi di dalam Manzharul Ajla
4) Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani di dalam Hidayatus Salikin
5) Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani di dalam Dhiyaul Murid
6) Syeikh Ismail bin Abdullah al-Khalidi al-Minankabawi di dalam terjemahan ar-Rahmatul Habithah fi Zikriz Zati war Rabithah
7) Syeikh Nawawi al-Bantani di dalam Targhibul Musytaqin
8) Syeikh Ahmad Khatib bin Abdul Ghaffar as-Sambasi an-Naqshbandi wal Qadiri di dalam imlak Fat-hul Arifin, dan ramai lagi.
Perlu disebutkan di sini bahawa baik ulama dunia luar atau pun ulama dunia Melayu ada yang membicarakan kedua-dua jenis rabithah, iaitu rabithah langsung kepada Rasulullah SAW dan rabithah kepada Syeikh Mursyid. Ada yang membicarakan salah satu dari kedua-duanya. Dengan disebutkan nama beberapa orang ulama yang terkenal dan kitab-kitab mereka jelaslah bahawa permasalahan rabithah adalah bersumber dari ulama-ulama mu’tabar Islam bukan direka-reka oleh orang jahil atau dari luar agama Islam. Oleh itu tiada alternatif lain melainkan bagi orang-orang yang benar-benar menerima sesuatu thariqat daripada Syeikh Mursyid atau yang benar-benar ahli dalam displin ilmu tersebut, hanyalah mematuhi atau mengikut yang telah digariskan oleh ulama. Tiadalah patut bagi seseorang pengamal sesuatu thariqat mengikut jalan fikirannya sendiri, betul menurutnya, tetapi ditunggangi oleh hawa nafsu dan syaitan sehingga membantah atau meragui keterangan-keterangan ulama mu’tabar yang telah berabad-abad menjadi pengangan dan ikutan sebahagian besar umat Islam baik di dunia antarabangsa mau pun dunia Melayu. Juga tiada patut pengamal suatu thariqat menerima sesuatu fatwa atau pendapat siapa saja, yang terdiri dari cerdik cendekiawan, intelektual, ahli ilmu, penguasa dan lain-lain golongan sedangkan mereka tidak pernah mendapat pendidikan dalam bidang thariqat shufiyyah, apabila fatwa dan pendapat mereka itu bertentangan atau bercanggah dengan fatwa dan pendapat para ulama mu’tabar yang sedia ada. Ulama mu’tabar dalam dispilin thariqat shufiyyah sangat ramai tetapi buat sementara waktu hanya sedikit saja nama mereka diperkenalkan seperti yang telah disebutkan di atas. Mengenai takrif istilah rabithah yang menghendaki huraian yang sangat panjang dan detail berdasar dari dalil-dalil al-Qur’an, Hadith, pendapat para ulama serta tafsiran-tafsiran menurut mereka itu belum perlu saya bicarakan di sini, insya’ Allah akan dibicarakan di kesempatan lain.
Walau bagaimana pun untuk lebih dapat bertambah jelas di bawah ini saya petik kembali tulisan saya yang pernah dalam buku Perkembangan Tasawuf kemudian dibuat lagi penambahan-penambahan baru. Petikan “…sehingga generasi kini lancang dan terlanjur menuduh merabithahkan Syeikh yang dilakukan oleh golongan thariqat shufiyyah itu adalah syirik, kerana menyembah guru, katanya. Padahal sampai sekarang belum kita ketemukan bahawa seorang pun pengikut shufi yang mengi’tiqadkan demikian. Saya, penulis buku ini berkesimpulan bahawa mempelajari ilmu pengetahuan dalam Islam terbahagi kepada dua, iaitu belajar secara lahiriyah. Iaitulah memerlukan guru, murid berhadapan dengan guru, atau membaca buku dan sebagainya. Jalan yang satu lagi ialah berguru secara batiniyah seperti yang dilakukan oleh golongan shufi. Golongan kedua ini selain belajar dengan guru secara lahir dan membaca kitab atau buku namun mereka belajar pula secara batin, iaitu rohaniyahnya bertemu dengan rohaniyah syeikhnya. Rohaniyah bertemu secara rohaniyah itu bukanlah beerti menyembah kepada guru. Jika demikian itu dianggap syirik, apakah belajar secara biasa, iaitu guru berada di hadapan atau membaca buku juga dihitung menyembah guru atau menyembah buku dibaca itu? Dari kerananya rabithah yang dilakukan oleh golongan shufi tadi janganlah anda lekas menuduh mereka telah melakukan syirik yang diharamkan syurga bagi golongan syirik itu, seperti yang telah difirmankan oleh Allah Ta’ala”. (Dirakamkan kembali dari buku yang tersebut dengan beberapa tambahan dan pembetulan, lihat terbitan Al-Ikhlas, Surabaya, hlm. 168 tahun 1980).
Di bawah ini pula saya ingin menambah pandangan saya dari yang tersebut di atas, supaya bertambah jelas. Bahawa melakukan rabithah atau mengkhayal rupa guru ketika akan berzikir itu bukanlah sama pengertiannya dengan menyembah seperti yang banyak dituduh oleh golongan yang tidak pernah mempelajari perkara itu kepada ahlinya. Dan tidak sama juga pendapat atau tuduhan bahawa rabithah itu adalah sebagai rekomendasi seseorang Syeikh Mursyid untuk muridnya menuju kepada Allah. Cubalah anda fikirkan dan renungkan sejenak, bahawa tiada seorang insan pun dalam dunia ini yang terlepas daripada khayalan di otak atau hatinya baik di luar ibadat maupun ketika akan melakukan ibadat, sedang melakukannya atau pun setelah mengerjakan ibadat itu. Orang yang terlalu banyak khayalnya di dalam ibadat dinamakan melakukan ibadat tidak khusyu’. Seseorang pemuda yang sedang dilanda dan dilamun oleh alam percintaan dengan seseorang perempuan apabila dia akan melakukan sembahyang tak dapat dinafikan bahawa rupa perempuan yang dicintainya akan Nampak di dalam khayalnya. Seseorang yang akan menerima wang dalam jumlah yang banyak dalam khayalnya akan terbayang wang itu walaupun dia dalam sembahyang. Seseorang yang akan dibunuh oleh musuhnya walaupun dia berusaha menghilangkan ingatannya terhadap musuh itu namun pasti tidak akan dapat menghilangkannya. Banyak lagi contoh-contoh yang lain, apakah yang demikian itu tidak dianggap syirik? Kenapa orang yang melakukan rabithah dianggap syirik? Sedangkan yang mereka ingat hanyalah guru mereka, Syeikh Mursyid, dan memang ada diikut, iaitu ulama-ulama mu’tabar yang telah disebutkan. Lagi pula yang dimaksudkan dengan rabithah itu adalah ketika akan memulakan zikir bukan dalam sembahyang. Apabila secara rohaniyah antara yang berzikir dengan Syeikh Mursyid telah bertemu di alam arwah (alam Malakut) mereka berzikir bersama-sama, ibadat sama-sama, berdoa bersama-sama. Hal ini tak ubahnya dengan kita beribadat secara berjama’ah dalam upacara-upacara peribadatan secara biasa (zahir). Dalam sembahyang berjama’ah ada imam dan ada ma’mum, dalam melakukan zikir menurut thariqat, ada yang dinamakan murid dan ada yang dinamakan Syeikh Mursyid. Kalaulah pertemuan secara rohaniyah seperti yang telah diuraikan di atas dipandang sebagai syirik, maka tentunya pertemuan secara zahiriyah juga adalah syirik.
Jika kita kaji dalam kejadian insan pula apakah kita dapat menafikan bahawa insan itu terdiri dari jasmani dan rohani? Hanyalah orang-orang abnormal saja yang tidak mempercayai adanya rohani dan roh itu. Sewaktu kita bertemu atau berkumpul di alam nyata (alam syahadah) apakah ketika itu kita juga bertemu di alam ghaib (alam arwah atau alam Malakut) secara serentak kedua-duanya sekali dalam satu waktu? Sekiranya serentak dalam satu waktu kenapa dalam pertemuan zahiriyah kita tidak pernah mengenal alam arwah atau alam Malakut itu? Jadi jelaslah bahawa dalam pertemuan kita setiap hari hanyalah kita bertemu atau berkomunikasi dengan makhluk-makhluk Allah yang bersifat jasmani saja bukan yang bersifat rohani. Jadi kalau demikian di manakah roh kita berada setiap hari? Sedangkan kita beribadat kepada Allah memerlukan jasmani dan rohani. Ibadat rohani adalah berpunca daripada pembersihan rohani itu sendiri. Dalam peribadatan seharian kita memerlukan pengajaran guru, oleh itu dalam ibadat yang dibangsakan kepada rohani atau perjalanan roh atau qalbi (hati) kita memerlukan bimbingan Syeikh Mursyid yang benar-benar faham dengan perkara itu, sedang Syeikh Mursyid itu adalah telah memenuhi syarat-syarat thariqatnya. Kecintaan seorang murid terhadap Syeikh Mursyidnya itulah yang menyebabkan komunikasi antara murid dengan Syeikh dapat bertemu di alam arwah atau alam Malakut sewaktu akan memulakan zikir atau pun pada waktu-waktu lainnya. Itulah yang dialami oleh sekian ramai ulama sufi. Sangat banyak kitab yang membicarakan perkara rabithah itu, yang beberapa buah diantaranya telah saya sebut di atas.
Untuk rujukan dalam Kitab “Dhiyaul Murid” ada menyebut, dalam Fashal Yang Ketiga: Pada Menyatakan Adab Zikir (الفصل الثالث في آدابها):
Perkara Empat Belas
Bahawa mengkhayalkan rupa syeikhnya pada antara dua matanya. Maka itu terlebih sangat muakkad bagi memberi bekas. Maka dihadirkan rupa syeikhnya pada hatinya, dan menuntut penolong daripadanya. Dan dilihat bahawasanya ia penolong daripada penolong Nabi kita. Dan hati Nabi SAW selama-lamanya berhadap kepada hadhrat Tuhannya. Maka apabila dikerjakan yang demikian itu, maka limpah pertolongan “al-Ilahiyyah” daripada “Hadrat Ilahiyyah” kepada hati penghulu kita. Dan daripada hati kita Nabi Muhammad SAW kepada segala hati masyaikh daripada satu kepada satu hingga sampai kepada berzikir itu. Maka jadi dapat pertolongan dan mendapat pemberian Allah pada kita jika ada benar hatinya. Dan terkadang didapatnya pada lambungnya dan segala sendinya bagai sakit, dan jahil sedikit pada hatinya pada sir panas.
Sumber:
Hj Wan Mohd Shaghir Abdullah.1996. Dhiyaul Murid Syeikh Daud al-Fathani Pedoman Zikir Menuju Ilahi. Kuala Lumpur: Khazanah Fathaniyah.
Allah Yang Maha Besar selalu mengingatkan kita di dalam kitab-Nya Al-Quran Al-Karim supaya berzikirillah seperti berikut:
“Dan sebutlah nama Tuhanmu pada waktu pagi dan petang, dan pada sebahagian dari malam, maka sujudlah kepadaNya dan bertasbihlah kepadaNya pada bahagian yang panjang di malam hari.” Surah 76: Al Insan, Ayat 25 & 26
“Dan sebutlah nama Tuhanmu dalam hatimu dengan merendahkan diri dan rasa takut, dan dengan tidak meninggikan suara, di waktu pagi dan petang, dan janganlah kamu termasuk orang-orang yang lalai.” Surah 7: Al A’raf, Ayat 205
“Orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata) “Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka.” Surah 3: Al Imran Ayat 191
“Sesungguhnya Aku lah Allah, tidak ada Tuhan selainKu, maka sembahlah Aku dan dirikanlah salat untuk mengingat Aku.” Surah 20 Ta Ha Ayat 14
“Sesungguhnya telah ada pada diri Rasulullah itu suri tauladan yang baik bagimu (yaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut nama Allah.” Surah 33: Al Ahzab Ayat 21
Dari Bukhari, Muslim, Tirmidhi dan Ibn Majah, diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a: Rasulullah s.a.w bersabda: Allah s.w.t berfirman: Aku adalah berdasarkan kepada sangkaan hambaKu terhadapKu. Aku bersamanya ketika dia mengingatiKu. Apabila dia mengingatiKu dalam dirinya, nescaya aku juga akan mengingatinya dalam diriKu. Apabila dia mengingatiKu di majlis, nescaya Aku juga akan mengingatinya di dalam suatu majlis yang lebih baik daripada mereka. Apabila dia mendekatiKu dalam jarak sejengkal, nescaya Aku akan mendekatinya dengan jarak sehasta. Apabila dia mendekatiKu sehasta, nescaya Aku akan mendekatinya dengan jarak sedepa. Apabila dia datang kepadaKu dalam keadaan berjalan seperti biasa, nescaya Aku akan datang kepadanya seperti berlari-lari anak.
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Nabi s.a.w bersabda: Sesungguhnya Allah s.w.t Yang Maha Memberkati lagi Maha Tinggi memiliki para Malaikat yang mempunyai kelebihan yang diberikan oleh Allah s.w.t. Para Malaikat selalu mengelilingi bumi. Para Malaikat sentiasa memerhati majlis-majlis zikir. Apabila mereka dapati ada satu majlis yang dipenuhi dengan zikir, mereka turut mengikuti majlis tersebut di mana mereka akan melingkunginya dengan sayap-sayap mereka sehinggalah memenuhi ruangan antara orang yang menghadiri majlis zikir tersebut dan langit. Apabila orang ramai yang hadir dalam majlis tersebut beredar, para malikat naik ke langit.
Allah s.w.t bertanya para malaikat meskipun Allah mengetahui pergerakan mereka:
“Dari mana kamu datang?”
Malaikat menjawab:
“Kami datang dari tempat hamba-hambaMu di dunia. Mereka bertasbih, bertakbir, bertahlil, bertahmid serta berdoa memohon dari-Mu.”
Allah s.w.t berfirman:
“Apakah yang mereka pohonkan.?”
Para Malaikat menjawab:
“Mereka memohon Syurga dari-Mu.”
Allah berfirman:
“Apakah mereka pernah melihat Syurga-Ku?”
Para Malaikat menjawab:
“Belum, wahai Tuhan.”
Allah berfirman:
“Bagaimanakah agarnya akan terjadi seandainya mereka dapat melihat Syurga-Ku?”
Malaikat berkata lagi:
“Mereka juga memohon daripada-Mu perlindungan.”
Allah berfirman:
“Mereka pohon perlindungan-Ku dari apa?”
Malaikat menjawab:
“Dari Neraka-Mu, wahai tuhan.”
Allah berfirman:
“Apakah mereka pernah melihat Neraka-Ku?”
Malaikat menjawab:
“Belum.”
Allah berfirman:
“Bagaimanakah agarnya akan terjadi seandainya mereka dapat melihat Neraka-Ku.”
Malaikat terus berkata:
“Mereka juga memohon keampunan-Mu.”
Allah berfirman:
“Aku sudah mengampuni mereka. Aku telah kurniakan kepada mereka apa yang mereka pohon dan Aku telah berikan ganjaran pahala kepada mereka sebagaimana yang mereka pohonkan.”
Malaikat berkata lagi:
“Wahai tuhan kami, di antara mereka terdapat seorang hamba-Mu. Dia penuh dengan dosa, sebenarnya dia tidak berniat untuk menghadiri majlis tersebut, tetapi setelah dia melaluinya dia terasa ingin menyertainya lalu duduk bersama-sama orang ramai yang berada di majlis itu.”
Allah berfirman:
“Aku juga telah mengampuninya. Mereka adalah kaum yang tidak dicelakakan dengan majlis yang mereka adakan.”
