Mulai daripada siri ini, saya akan mula mengulas, menghuraikan dan membawa beberapa contoh perbandingan berkenaan dengan soal rumit, atau lebih tepat lagi kesalahfahaman umat Islam dalam masyarakat kita di rantau Nusa Tenggara ini, akan ilmu dan ajaran Tariqat.
Kita sedia maklum, tariqat seringkali disalahfaham oleh orang ramai. Terdapat juga, golongan yang tidak bermatlamatkan agama yang hak, memperalatkan tariqat untuk kepentingan diri masing-masing. Walhasil, pada zaman kita, akibat propanganda yang dilakukan oleh musuh-musuh Islam, maka ajaran ilmu tariqat dianggap berbahaya, sedangkan ianya adalah merupakan sumber kekuatan kepada orang-orang Muslim lagi mukmin. Maka ramailah orang Islam menentang dan menyesatkan salah satu ilmu yang merupakan satu teras kekuatan ummah itu sendiri.
Kita maklum, akibat daripada tindak tanduk segelintir orang atau guru yang memperalatkan ajaran daripada ilmu tariqat, maka pada hari ini orang-orang yang mengamalkan tariqat yang sebenar ditakuti, hendak dijauhi, bahkan kerapkali dilayan layak sebagai orang-orang subversif, kalaupun bukan komunis. Padahal, sejak dari zaman Sultan Salahudin Al-Ayyubi yang menggalakkan aliran-aliran tariqat di kalangan tentera Islam, tariqat menjadi salah satu sumber kekuatan kepada perjuangan yang menghasilkan kemenangan yang gemilang dan kehidupan beragama yang mulia serta berpaksikan keimanan.
Pada kali ini, saya sertakan satu kisah perjuangan yang dicetuskan oleh aliran Tariqat yang benar. Harap jangan salah faham dengan aliran beberapa tariqat yang dikelaskan sebagai sesat di Malaysia pada hari ini. Misalnya aliran Tariqat yang dikenali sebagai Naqsyabandiah Prof Qadirun Yahya yang diubah suai daripada aliran Tariqat Naqsyabandiah yang hak atau yang sebenar yang dikenali sejak dari zaman Sultan Salahudin Al-Ayyubi itu sendiri. Cerita ini adalah cerita perjuangan ikhwan-ikhwan Tariqat Naqsyabandiah di Chechnya, satu ketika dahulu. Wallahu A'lam.
The Jihad of Imam Shamyl
by
Kerim Fenari
Terjemahan bebas oleh
Hanafi Ali (November 2000)
Perjuangan rumit bangsa Chechen untuk kebebasan telah memeranjatkan ramai orang Islam. Seperti Bosnia pada 1992, kewujudan negeri Islam ini tidak diketahui oleh ramai orang kita. Tapi sekarang, sepertimana dulunya tentera ganas Tsar Boris Yang Pertama turun dari tanah liar di utara (Russia) untuk membawa api dan pedang kezaliman kepada bangsa Chechen, ianya adalah berguna untuk kita memperingati negeri Kaukasus senantiasa menjadi kuburan bagi penjajah Kristian dan juga tempat lahir ramai perwira-perwira Islam yang nama mereka masih bergema di dalam hutan rimba dan lembah gunung yang amat romantis itu.
Banjaran Kaukasus adalah banjaran yang memisahkan Eropah dari Asia, dan tidak ada banjaran yang sepertinya di mukabumi lain. Puncak tertinggi di Eropah terletak di sini. 650 batu panjangnya dari Laut Kaspia hingga ke Laut Hitam, tinggi puratanya melebihi 10,000 kaki. Suasana yang sungguh megah ini kelihatan lebih menyukarkan lagi bila dilihat kecuramannya. Kaukasus ialah umpama seorang lelaki tanpa liuk badannya, bak kata pepatah Georgia, dan tebing tingginya, jatuh ke bawah lebih lima ribu kaki ke dalam air sejuk yang membeku, seolah-olah membelah suasana kepada batu-batu besar sahaja.
Kesukaran untuk menembusi Kaukasus, serta kesukaran untuk berhubung antara orang-orang yang tinggal di dalamnya, telah menyebabkan pelbagai bangsa dan kaum bermastautin di situ. Ahli sejarah Yunani bernama Pliny memberitahu kita orang-orang Rome telah menggajikan seratus tiga puluh empat penterjemah untuk mereka berurusan dengan kaum Kaukasus yang gemar berperang, dan ahli sejarah Arab bernama Al Azizi memanggil kawasan tersebut sebagai Pergunungan Pelbagai Bahasa, dimana beliau meriwayatkan terdapat kira-kira tiga ratus bahasa yang tidak serupa langsung yang dipertuturkan di Daghestan.
Sebahagian dari orang-orang Kaukasus, seperti Chechen yang berkulit putih, adalah berketurunan Eropah. Yang lainnya, seperti orang-orang Daghestan, dipercayai berasal dari Asia. Tetapi iklim yang teruk serta bentuk mukabumi yang amat mencabar telah memberikan mereka satu gaya hidup yang serupa: penuh dengan kekurangan. Cuma sedikit pertanian dapat dilakukan di cerunan yang curam, dan kambing biri-biri cuma boleh digembala di rabung yang tinggi. Secara tradisinya, mereka tinggal di "aoul", kampung-kampung Kaukasia yang mencabar, diperkukuhkan dengan rumah-rumah berbatu besar serta dinding-dinding yang tinggi untuk mengelak dari gangguan kucing puma, serigala, dan musuh-musuh. Dibina di tempat yang paling sukar untuk diziarahi, di atas pergunungan yang tinggi, tempat masuk kampung-kampung ini cumalah tebing-tebing curam yang cuma boleh dilalui dengan berjalan kaki, yang tidak menyediakan tempat untuk berehat, tapi cuma pemandangan pergunungan yang mengkhayalkan, serta helang-helang yang berkeliaran menunggu mangsa.
Dalam keadaan sebegitu, cuma anak-anak yang gagah dapat membesar menjadi dewasa. Mereka menghabiskan hari-hari dengan mendaki dan menuruni curam-curam perbanjaran, bila mereka mendekati usia dewasa, bangsa lelaki Chechen serta Daghestani amat kuat dan gagah. Diriwayatkan pada pertengahan kurun ke-19, tidak ada wanita Chechen yang akan mengahwini seorang lelaki jika lelaki tersebut belum membunuh seorang bangsa Russia, dapat melompat anak sungai selebar 23 kaki, serta melompat tali setinggi bahu lelaki.
Jurang besar yang memisahkan aoul-aoul ini menyebabkan persaingan dan pergaduhan berlaku dengan mudah. Kehidupan seorang Kaukasia dipenuhi dengan dendam berdarah, disebut 'kanli', yang memastikan tidak ada kesalahan, walau kecil bagaimana sekalipun, akan dibiarkan tanpa dibalasdendam oleh keluarga mangsa. Cerita-cerita dongeng dalam kesusasteraan Chechen dipenuhi dengan pergaduhan yang berlanjutan selama ratusan tahun yang bermula dengan kecurian seekor ayam, dan berakhir dengan kematian keseluruhan puak berkenaan. Peperangan senantiasa berlaku, begitu juga dengan latihan untuk berperang, dan anak-anak muda berbangga dengan kebolehan menunggang kuda, bergusti serta menembak dengan tepat.
Tentera Islam tidak pernah dapat menawan Kaukasus: walaupun para Sahabat RA, yang menumbangkan tentera terlatih Rom dan Parsi, tapi terhenti di tebing-tebing tinggi Kaukasus. Untuk ratusan tahun, orang-orang Kaukasus beragama animistik, atau Kristian; sementara jiran Muslim mereka di Iran menggeruninya, mempercayai Raja segala Jin mempunyai kota di tengah-tengah kemuncak bersaljinya.
Tapi di mana tentera Islam tidak berjaya, pendakwah Muslim yang membawa mesej keamanan secara perlahan-lahan tiba. Ramai yang mati syahid di tangan kaum-kaum liar dan pemarah; walaubagaimanapun, lembah yang terasing hinggalah ke aoul yang tertinggi semuanya menerima Islam sebagai agama. Bangsa Chechen, Avar, Circassia dan Daghestan memeluk Islam: dan pada kurun ke-18, cuma bangsa Georgia dan Armenia masih tidak menukar agamanya.
Waima dengan kejayaan para pendakwah ini, satu ancaman mula berkumpul di ufuk. Dalam tahun 1552, Ivan Yang Jahat telah menawan dan memusnahkan bandar Kazan, sebuah kota Muslim yang hebat di utara Sungai Volga. Empat tahun kemudian, tentera Russia tiba di Laut Kaspia. Tentera ini dipenuhi oleh bangsa Cossack yang liar, tentera berkuda yang ganas yang membuat keturunan dengan menangkap serta mengahwini secara paksa wanita Muslim yang mereka tawani. Bangsa Cossack ini alim serta praktikal: mereka tidak akan membuat penempatan baru tanpa membina sebuah gereja yang hebat; yang mana locengnya berbunyi diseluruh empayar Tsar yang senantiasa berkembang di padang rumput yang luas.
Lewat kurun ke-18 ancaman Kristian kepada Kaukasus tidak dibiar begitu sahaja oleh kaum-kaum gunung ini. Tapi perpaduan yang tiada, menyebabkan aksi yang effektif seperti mustahil, dan sejurus selepas itu, tanah subur lembah di Utara Chechenya dan yang lebih ke barat yakni Nogay Tatar dirampas dari tangan orang Islam. Orang-orang Muslim yang tertinggal dipaksa menjadi hamba untuk bekerja di ladang milik hartawan Russia. Mereka yang enggan atau lari telah diburu umpama memburu rubah. Sebahagian dari mereka ini disiat kulitnya, dan kulit tersebut digunakan untuk membuat gendang perang. Hamba abdi perempuan selalu diambil bayi-bayi mereka, supaya anjing-anjing istimewa hartawan Russia dapat minum susu manusia yang segar.
Catherine Yang Hebat, yang memantau polisi pengembangan empayar ini, menghantar gigolonya yang termuda, Count Platon Zubov (Zubov 25 tahun, Catherine 70 tahun), untuk merealisasikan langkah pertama dalam usahanya untuk menjadikan seluruh tanah-tanah Muslim dijajah dan dijadikan tanah Kristian Ortodoks. Tentera Zubov dikalahkan di pantai Kaspia, akan tetapi amaran telah dibunyikan. Kaukasus mengangkat kepalanya dari pergaduhan dalaman, dan tahu sekarang yang ianya mempunyai seorang musuh.
Usaha yang sistematik yang pertama untuk menjawab ancaman ini datang dari seorang individu yang tidak terkenal tapi ceritanya romantis persis cerita tipikal Kaukasus. Dia dikenali sebagai Elisha Mansur, seorang padri Jesuit Itali yang dihantar ke kaum Greek di Anatolia untuk menjadikan mereka Katolik. Yang menyebabkan kemarahan Paus, dia kemudiannya memeluk Islam dengan ceria, dan dihantar oleh Sultan Uthmaniah ke Kaukasia untuk membentuk tentera bagi menghalang kemaraan tentera Russia. Tapi pada pertempuran Tatar-Toub dalam tahun 1791, usaha beliau terhenti tiba-tiba; beliau tertangkap, dan dipenjarakan di sebuah monastari di Laut Putih yang sejuk membeku, dimana padri-padri berusaha dengan sungguh-sungguh tapi sia-sia untuk mengajaknya kembali ke agama Kristian.
Mansur telah gagal, tapi bangsa Kaukasia telah bertempur umpama singa. Api kemaraan ini akhirnya marak dan dibesarkan oleh seorang genius: Mullah Muhammad Yaraghli. Yaraghli ialah seorang ulama dan seorang ahli Sufi, amat fasih dalam kitab-kitab Arab, yang mengajar Tariqat Naqshbandi kepada bangsa gunung yang kasar. Walaupun dia telah mendidik beribu-ribu orang, muridnya yang terulung ialah Ghazi Mullah, seorang pelajar agama dari bangsa Avar dari Daghestan, yang memulakan dakwahnya sendiri pada 1827, dimana beliau memilih aoul Ghimri yang besar sebagai pusat aktivitinya.
Untuk tempoh 2 tahun Ghazi Mullah menyebarkan mesejnya. Bangsa Kaukasia belum menerima Islam sepenuhnya, katanya. Undang-undang lama mereka, yakni "adat", yang berbeza dari kaum ke kaum, mesti digantikan dengan Syariah. "Kanli" yakni dendam berdarah mesti dihapuskan, dan semua ketidakadilan diadili di mahkamah Syariah. Akhirnya, bangsa Kaukasia mesti menahan sifat liar serta ego mereka, dan menjalani jalan mensucikan diri. Cuma dengan mengikuti semua ini, dia memberitahu mereka, mereka akan dapat bersatu, dan menentang ancaman Kristian.
Pada tahun 1829, Ghazi Mullah merasakan pengikutnya telah terdidik dengan secukupnya akan mesej beliau untuk mereka memulakan langkah terakhir: aksi politik. Dia mengembara ke seluruh Daghestan, berceramah secara terbuka mengkritik masalah sosial, memecahkan tajau-tajau yang dipenuhi dengan arak, yang biasanya di simpan di tengah-tengah aoul. Didalam siri ceramahnya yang panas membakar, dia menggesa bangsa Kaukasus untuk mengangkat senjata untuk Ghazwa: Seorang Muslim mungkin mengikuti Syariah, tapi seluruh zakatnya, sembahyang serta wudhuknya, hajinya di Makkah, semuanya tidak berguna selagi ada bangsa Russia yang dapat melihat mereka. Nikahmu tidak sah, anak-anakmu gampang, selagi ada seorang Russia di tanah milikmu!
Inilah masa Jihad, isytihar beliau. Seluruh ulama-ulama di Daghestan berkumpul di Masjid Ghimri, dan mengisytiharkan Ghazi Mullah sebagai Imam mereka, dan bersumpahjanji untuk menyokongnya.
Murid-murid di Ghimri, yang berdiri megah di kalangan bangsa gunung yang lain dengan bendera hitam mereka, tanpa memakai apa-apa emas atau perak di pakaian serta senjata mereka, berjalan di belakang Ghazi Mullah, dan bertahlil dengan laungan perang mereka: La ilaha illaLlah. Matlamat pertama mereka ialah aoul Andee, yang taat dengan Russia, tapi begitu hebatnya Murid-murid ini, aoul Andee menyerah tanpa bertempur. Ghazi Mullah kemudiannya mengalihkan pandangannya kepada tentera Russia.
Pada masa ini, tentera Russia telah memindahkan beberapa kelompok orang Russia untuk tinggal di kawasan Kaukasus. Pos-pos tentera telah dibina di padang-padang luas di utara, di Grozny, Khasav-Yurt dan Mozdok, tapi di tempat lain, proses membuang orang Islam dari tanah Kaukasus baru saja bermula. Ghazi Mullah dengan itu dapat bersandar dengan sokongan rakyat tempatan bila dia menggempur kota Russia di Vnezapnaya. Tanpa meriam, dia tidak dapat menawan kota tersebut, tapi ahli kota tersebut yang dipimpin oleh Baron Rosen, terpaksa meminta bantuan. Bantuan ini datang dalam ketumbukan tentera yang besar, yang memikirkan mereka tidak takutkan orang Islam, telah memburu orang Islam jauh ke dalam hutan rimba yang tebal, yang pada masa itu terletak di selatan Grozny.
Dalam kegelapan pokok-pokok kayu, Murid-murid bertempur di gelanggang sendiri. Menembak dari dahan-dahan pokok-pokok beech yang besar, memasang perangkap dan jerangkap untuk tentera Russia yang gagah tapi tidak teratur, mereka menembak dengan tepat pegawai-pegawai musuh, dan menangkap tentera-tentera yang berjalan kaki. Di dalam suasana samar ini, ketumbukan tentera Russia ini, yang terdiri daripada padri-padri yang membawa ikon-ikon serta salib-salib yang besar, tertanggung dengan kereta lembu yang membawa samovar sebesar 5 kaki dan kotak-kotak arak untuk pegawai-pegawainya, mendapati mereka (tentera Russia) semakin lemah dan berkecai. Sebahagian kecil saja dari ketumbukan ini berjaya keluar dari hutan itu: dan kemenangan Mujahidin yang pertama telah terjadi.
Berazam untuk membalas dendam, tentera Russia menyerang bandar Muslim bernama Tschoumkeskent, yang mereka tawan dan bakar kesemuanya. Tapi mereka membayar harga yang tinggi untuk operasi ini: 400 tentera Russia terbunuh, dan cuma 150 Murid-murid terkorban. Lebih memalukan Russia lagi, di Tsori, sebuah banjaran gunung di mana 4000 tentera Russia terkandas selama 3 hari, untuk mendapati yang mereka terkandas hanya kerana dua orang penembak tepat Chechen.
Dengan rasa marah, tentera Russia mengganas di Chechenya Selatan, membakar tanaman, dan membinasakan 61 buah kampung. Perlahan-lahan, murid-murid Chechen dan Daghestan berundur ke pergunungan di belakang mereka. Ghazi Mullah dan pengikut utamanya Shamil membuat keputusan untuk bertahan di Ghimri. Selepas dikepung dengan bisanya, dengan korban di kedua-dua belah pihak, aoul Ghimri itu digempur oleh tentera Russia, yang menemui Ghazi Mullah dalam kelompok mereka yang mati. Imam Ghazi Mullah masih duduk di tikar sembahyangnya, satu tangannya memegang janggutnya, dan yang satu lagi menelunjuk ke langit. Tapi dalam tempoh yang sama, timbalannya, berjuang dengan 60 orang murid-murid yang mempertahankan dua menara batu, kelihatan seperti kebal, menembak dengan penuh ketepatan satu persatu tentera Russia yang berani mampir. Akhirnya, bila tinggal 2 orang murid-murid sahaja yang hidup, Shamil tampil, untuk menabalkan reputasinya sebagai perwira di medan perang, yang kemudiannya akan bergema di seluruh wilayah Islam Kaukasus. Seorang pegawai tentera Russia menulis tentang insiden tersebut:
Ianya gelap: dari cahaya sebuah pondok rumput kami melihat seorang lelaki berdiri di pintu sebuah rumah, yang berdiri di kawasan yang ditinggikan, lebih tinggi dari kami. Lelaki ini, seorang yang amat tinggi, berbadan tegap, berdiri dengan diam, seperti memberi kami masa untuk membidik beliau. Kemudian, dengan tiba-tiba, seperti loncatan seekor binatang liar, dia melompat melewati kepala askar-askar yang hampir sahaja menembaknya, dan beliau hinggap dengan sempurna di belakang askar-askar tersebut, melibaskan pedang dengan tangan kirinya, dia mencantas tiga dari mereka, tetapi dia dibayonet oleh yang keempat, besi itu menusuk jauh ke dalam dadanya. Wajah lelaki tersebut amat luarbiasa tanpa apa-apa reaksi, dia pegang bayonet itu, dan mencabutnya dari dagingnya sendiri, dan mencantas askar itu, dan dengan satu lagi loncatan luarbiasa, melewati dinding yang memisahkan kami dan hilang di dalam kegelapan malam. Kami benar-benar terdiam dan terkeliru.
Tentera Russia tidak mengindahkan Shamil yang berjaya melepaskan diri, yakin bahawa Kota bagi Murid-murid hancur dan memeterikan kemenangan mutlak bagi mereka. Mereka tidak menyangka bahawa peperangan selama tiga puluh tahun, serta kehilangan setengah juta nyawa Russia, menunggu Russia di tangan Shamil.
Setelah melepaskan dirinya dengan dramatik dari Ghimri, Shamil yang tercedera dengan penuh kesakitan berjalan ke saklia, sebuah pondok di banjaran yang dipenuhi dengan glasier di pergunungan Daghestan. Seorang penggembala memanggil isterinya Fatimah, yang datang secara diam-diam kepadanya, lalu merawatnya yang disakiti oleh demam yang panjang, dan membalut lapan belas luka bayonet dan pedang. Berbulan-bulan selepas itu, Shamil kembali sihat untuk berjalan, dan bila rakyat Kaukasus mendengar kematian timbalan Ghazi Mullah, telah menabalkan Shamil sebagai Imam Azam, Pemimpin Bagi Seluruh Kaukasus.
Shamil telah dilahirkan pada 1796 dalam sebuah keluarga ternama dari kaum Avar di selatan Daghestan. Beliau membesar dengan kawannya Ghazi Mullah, dan membahagikan masa kecilnya di antara masjid dan di tebing-tebing sempit yang mengelilingi Ghimri, dimana dia menggembala kambing biri-birinya. Beliau selalu melihat ke gaung yang dalam dari tebing-tebing yang curam, lima ribu kaki jauh ke dalam di bawah kampungnya, dan melihat halilintar berkilau di dalam awan dibawahnya. Di kejauhan, di cerunan, kelihatan kilauan naftalena yang terbakar, dimana minyak secara semulajadi keluar berbuih2 melalui batu-batu, terbakar untuk sekian tahun.
Bentuk mukabumi yang kasar ini, dan disiplin hidup bangsa Kaukasia yang ketat, telah membiasakan Imam dengan kehidupan yang mempunyai amat sedikit kemewahan dunia. Semasa kecil, Imam memaksa ayahnya untuk meninggalkan arak dengan mengugut untuk jatuh ke atas belatinya sendiri jika ayahnya enggan. Disiplin rohani yang sukar untuk membolehkannya menjadi seorang ulama muda seolah-olah seperti biasa baginya, dan pada usia awal 20an beliau telah mahir dalam bidang-bidang yang dihormati di Kaukasus: keberanian di medan perang, fasih berbahasa Arab, mahir dalam Tafsir dan Fekah, dan darjat kerohanian yang meninggalkan kesan yang mendalam kepada semua mereka yang menemuinya.
Bersama-sama dengan Ghazi Mullah, dia menjadi murid Muhammad Yaraghli, seorang ulama yang amat tegas dan mempunyai minda kerohanian yang mengajar anak-anak muda bahawa kesucian rohani mereka tidak mencukupi: mereka mesti berjuang dan mengagungkan hukum-hakam ALLAH. Hukum Syariah mesti menggantikan hukum pagan kaum-kaum Kaukasus. Selepas itu ALLAH akan memberi mereka kemenangan ke atas orang-orang Russia.
Aktiviti Shamil yang pertama cumalah satu pertahanan, reaksi dari serangan tentera Russia. Tentera Russia dibawah pimpinan Jeneral Fese melancarkan serangan ke Pedalaman Daghestan. Di sini, di aoul Ashilta, bila tentera Russia datang menghampiri, 2000 Murid-murid bersumpah di atas Al Quran untuk mempertahankan kota tersebut hingga mati. Setelah bertempur sebegitu lama sehingga mereka berlawan di jalan-jalan dengan tangan-tangan kosong, Russia berjaya menawan dan memusnahkan bandar ini, dan membunuh semua tawanan. Pentas telah dibuka untuk satu peperangan yang panjang dan pahit.
Shamil bukanlah asing dalam berperang dengan bangsa Eropah. Semasa menunaikan Haji pada 1828, dia bertemu dengan Amir Abdul Qadir, perwira Algeria yang menentang Peranchis, yang berkongsi dengan Shamil tentang kaedah perang gerila. Dua lelaki tersebut, walaupun berjuang 3000 batu dari satu sama lain, amat sama dalam hobi akademik mereka dan kaedah peperangan. Mereka sedar kemustahilan memenangi peperangan dalam medan berlawan dengan tentera Eropah yang besar dan lengkap, dan perlunya akan teknik-teknik yang kompleks untuk membahagikan musuh dan memerangkap mereka di celah-celah pergunungan dan rimba, serta melancarkan gerakan gerila yang cepat dan tangkas.
Kelemahan kedudukan Shamil di Kaukasus ialah kewajibannya untuk mempertahankan aoul-aoul. Orang-orangnya boleh bergerak sepantas kilat, dan mengelak dari musuh, ataupun menyerang musuh dengan tiba-tiba. Tapi perkampungan-perkampungan tersebut, walaupun diperkukuhkan dengan kota, terdedah kepada kaedah kepungan Russia yang diperkuatkan dengan meriam-meriam moden.
Shamil menyedari kelemahan ini pada 1839, di aoul Akhulgo. Keutuhan gunung ini, dilindungi oleh tebing sungai di tiga penjuru, terbahagi kepada dua bahagian yang mengerikan yang dihubungi dengan jejambat kayu sepanjang 73 kaki. Akhulgo telah dipenuhi dengan pelarian yang lari dari tentera Russia yang sedang mara, dan kehadiran sebegitu ramai wanita dan anak-anak kecil menyebabkan tempoh kepungan yang lama agak menyiksakan. Tapi Shamil tidak akan berundur lagi, di sini dia akan berdiri mempertahankan diri.
Pada masa ini, tentera Naqshbandi berjumlah sekitar 6000 orang, terbahagi kepada unit-unit sebanyak 500 orang setiap unit, di bawah perintah seorang Naib. Naib-naib ini, perkasa serta terpelajar, adalah suatu misteri kepada Russia. Dalam 30 tahun perang Kaukasia, tidak seorang pun yang berjaya ditangkap hidup-hidup. Di Akhulgo, lelaki-lelaki ini memperkukuhkan tempat mereka sebaik yang mereka terdaya, dan bila sudah senja, selepas sembahyang maghrib, mereka akan pergi duduk di atap-atap rumah, dan menyanyikan syair dari kitab yang bernama Zabur, yang ditulis oleh Shamil untuk menggantikan lagu-lagu yang mereka nyanyikan bila mereka mabuk arak. Ada banyak lagu lain; yang paling biasa didengar oleh tentera Russia ialah Lagu Mati, yang dinyanyikan bila tentera Russia kelihatan akan menang, dan orang-orang Chechen itu akan mengikat diri mereka sesama sendiri, dan bersedia untuk berjuang hingga ke penghujung nyawa.
Russia mula menyerang pada 29 Jun 1839. Mereka cuba mendaki tebing tinggi itu, dan kehilangan 350 tentera yang mati ditangan Mujahidin, yang membaling batu selama empat hari, sehingga mereka dapat menempatkan meriam mereka supaya dapat membedil dinding-dinding kukuh Chechen dari jarak yang selamat. Tapi setiap kali dinding-dinding ini pecah, setiap kali Russia menyerang, Murid-murid akan muncul dari timbunan aoul yang hancur dan mematahkan serangan Russia menyebabkan ramai tentera Russia terkorban.
Keadaan di kampung itu, walaubagaimanapun, menjadi semakin melarat. Ramai mati, dan bau mayat mereka yang menjadi busuk di bawah mentari musim panas, menyebarkan kebusukan merata-rata. Bekalan makanan hampir habis. Mendengar berita ini dari penyiasat, Count Glasse, jeneral Russia berkeputusan untuk menyerang habis-habisan. Tiga ketumbukan dari 3 arah diarahkan untuk menyerang serentak, menyebabkan tembakan balas dari Chechen terbahagi-bahagi.
Ketumbukan pertama, yang menaiki tangga tali untuk melepasi tebing curam di satu penjuru. Tapi dari batu-batuan besar yang kelihatan tidak berorang, tembakan oleh penembak tepat Chechen memusnahkan sayap itu dalam beberapa minit. Pegawai-pegawai tentera Russia dari ketumbukan ini semuanya terbunuh, dan 600 orang tentera, bersandar pada tebing, telah diperangkap oleh Murid-murid dengan pengetahuan bahawa mereka (tentera Russia) yang letih dan terdedah akan dibinasakan oleh Murid-murid sebelum pecah cahaya fajar.
Ketumbukan kedua cuba untuk mencari jalan ke aoul melalui dasar tebing yang curam. Ketumbukan ini juga hancur, bila Chechen melemparkan batu-batu besar kepada mereka, yang mana cuma beberapa dozen yang kembali ke markaz. Ketumbukan ketiga, berjalan perlahan-lahan ditepian tebing salji, mendapati mereka diserang oleh beratus-ratus wanita dan anak-anak kecil.Wanita-wanita ini mencantas ketumbukan Russia kiri dan kanan, dan anak-anak kecil ini, dengan pisau belati pada kedua-dua tangan, berlari di celah kangkang tentera Russia dan menyiat mereka dari bawah. Di sini, sepertimana selalunya di Chechenya, wanita-wanita itu berjuang memperjudikan nasib, yang mana mereka tahu mereka (wanita-wanita) akan kehilangan lebih banyak dari lelaki dalam peperangan. Dibawah jeritan dan pertumpahan darah ini, ketumbukan Russia itu tergencat dan berundur kembali.
Terkeliru, Count Glasse menghantar diplomat kepada Shamil untuk berunding. Keadaan di aoul amat sukar, dan Shamil, dengan penuh berat hati, bersetuju untuk menjadikan anak lelakinya Jamaluddin sebagai tebusan, dengan syarat tentera Russia berundur dan meninggalkan aoul tersebut dalam aman. Tapi sejurus sahaja anak itu dihantar ke jalan menuju ke St Petersburg, meriam diledakkan kembali, dan Akhulgo terbedil dari semua penjuru. Shamil menyedari dia tertipu.
Hari berikutnya, Russia mara lagi ke Akhulgo, dan mendapati ianya dipenuhi oleh gagak yang memakan mayat-mayat yang reput. Yang hidup berjaya melepaskan diri pada waktu malam. Yang terlalu lemah untuk melepaskan diri, ditemui didalam gua2 pada tebing-tebing yang berdekatan, yang cuma boleh dilalui dengan penuh kesukaran. Seorang pegawai tentera Russia merekodkan pada diarinya:
Kami terpaksa menurunkan askar-askar dengan tali. Askar-askar ini hampir pengsan dengan bau mayat-mayat yang tidak terkira banyaknya. Di celah rekahan dua Akhulgo, pengawal terpaksa ditukar selang beberapa jam. Lebih seribu mayat ditemui, dan banyak lagi yang dihanyutkan ke hilir sungai, atau terdampar membusuk di batu-batu sungai. 900 orang tebusan ditangkap hidup-hidup, kebanyakannya wanita, anak kecil dan lelaki tua; tapi walaupun luka dan keletihan, mereka yang ini pun tidak menyerah dengan mudah. Beberapa orang mencari kudrat terakhir mereka, dan merampas bayonet dari pengawal-pengawal. Tangisan serta raungan anak-anak kecil yang masih hidup, dan kesengsaraan yang luka dan nazak, menyempurnakan suasana yang sungguh tragis.
Shamil telah berusaha menyelamatkan keluarga dan pengikutnya pada malam sebelumnya. Fatimah isterinya yang mengandung 8 bulan, dan isteri keduanya Jauharah mengendong anaknya yang berusia 2 bulan yang bernama Said. Bersama-sama mereka berjaya melepasi tebing tinggi yang curam yang tidak diketahui oleh tentera Russia, hingga mereka dapat turun ke sungai yang deras di bawah. Di sini, Imam Shamil menumbangkan sebuah pokok besar sebagai titian menyeberangi sungai. Fatimah berjaya menyeberang dengan anaknya Ghazi Muhammad, tapi Jauharah terkelihatan oleh penembak tepat Russia, yang membunuhnya dengan sebutir peluru, menyebabkan dia jatuh bersama anaknya ke dalam arus sungai yang deras. Perlahan-lahan, Shamil dengan keluarganya yang berkurangan, dan Mujahidin yang berjaya melepaskan diri, mengelakkan diri dari tentera Russia, yang sekarang dibantu oleh orang-orang Ghimri yang belot yang menyebelahi Russia. Sekali itu mereka bertemu dengan sebuah platun Russia, dan pada pertempuran kecil itu Ghazi Muhammad yang masih kecil luka dengan bayonet. Tapi pedang Shamil mencantas pegawai Russia itu, yang mana askar-askarnya lari dalam ketakutan. Imam Shamil dan rombongannya bebas kembali: sepertimana di Ghimri, Imam Shamil telah melakukan pelepasan diri yang ajaib.
Count Grabbes melaporkan penaklukan Akhulgo dalam frasa-frasa yang memuji diri sendiri. Sekta Murid, tulisnya, telah kalah diikuti dengan kehancuran pengikut-pengikutnya. Tsar amat gembira, tapi sekali lagi, pesta kemenangan mereka tidak kena pada tempatnya. Selagi Shamil masih bebas dia tidak akan dikalahkan. Dan Moscow telah memberikan Kaukasus satu sebab untuk mencari kebebasan.Pada 1840, Shamil mengumpulkan bala tentera baru, dan mengibarkan bendera-bendera hitamnya. Dengan kekalahan tentera Russia di persisiran Laut Hitam dalam pemberontakan Sirkassia, keadaan amat optimum untuk kempen yang besar, dan pada penghujung 1840, Imam Shamil berjaya menakluk semula Akhulgo, dan membawa angkatan perangnya di padang-padang Chechenya Selatan, menakluk kota demi kota. Tindakbalas Russia amat berkecamuk: Satu misi yang di ketuai oleh Grabbe berakhir dengan kematian 2000 tentera Russia. Pemerintah baru, yang disenangi oleh Tsar, Jeneral Neidhart, menawarkan emas seberat kepala Shamil kepada sesiapa yang berjaya menangkapnya, tapi semuanya sia-sia. Lagi dan lagi, tentera Imperial dibawa ke dalam hutan yang gelap, terpecah sayapnya, dan dihancurkan.
Sementara itu, Shamil semakin memperhalusi teknik-teknik perangnya. Pada suatu ketika, dia menyerang tentera Russia dengan 10 ribu orang, dan muncul dalam tempoh kurang dari 24 jam pada tempat 50 batu dari situ, untuk menyerang sebuah pos tentera: satu usaha yang amat hebat. Seorang ahli sejarah ketenteraan melaporkan: Ketangkasan perjalanan ini pada kawasan yang bergunung, dan ketepatan kombinasi operasinya, dan yang lebih menghairankan lagi ianya dilakukan di depan mata tentera-tentera Rusia, melayakkan Shamil menjadi seorang yang lebih hebat dari seorang pemimpin gerila, walaupun pemimpin gerila yang paling hebat.
Langkah Russia yang berikutnya ialah serangan berani seramai 10 ribu tentera kepada ibukota Shamil yang baharu di Dargo. Pemerintahnya, Jeneral Vorontsov, menjelajah Chechenya dan Pedalaman Daghestan, tanpa sebarang lawan, dan mendapati Shamil telah membakar aoul-aoul yang ditemuinya daripada membiarkannya jatuh ke tangan Vorontsov. Dengan penuh keyakinan, ditambah dengan rasa meluat Jeneral tersebut pada bangsa Asia yang memberontak itu, dia membuat keputusan untuk menjelajah terus sedalam 10 batu ke dalam hutan yang memisahkan dia dari Dargo dan pahlawan-pahlawan Shamil. Tapi bila mereka tiba, Russia mendapati Shamil telah membakar juga aoul tersebut, dan bila mereka berpatah balik, mereka mendapati kecelakaan menemui mereka. Shamil telah memerhatikan mereka dengan teleskopnya, dan dengan tenang mengarahkan Murid-muridnya untuk mengambil tempat untuk memerangkap dan mengecaikan tentera Russia. Berjuang di samping orang-orang Islam ialah 600 tentera Russia dan Poland yang telah menyebelahi pihak Islam Chechen. Tentera Russia dan Poland yang berpaling tadah ini memomok-momokkan tentera Russia dengan menyanyikan lagu tentera yang lama di waktu malam, suara-suara mereka mengejek-ejek dari kejauhan di dalam hutan yang tebal.
Shamil telah menyusun empat buah meriam di atas aoul yang hancur itu, dan tentera Russia telah menggempur kedudukan ini dan menawannya dengan mudah. Tapi bila mereka kembali dari situ, melalui padang jagung yang menyembunyikan beberapa dozen Murid-murid, yang berdiri untuk menembak tentera Russia dan bersembunyi lagi sebelum tentera Russia dapat menembak balas. 187 tentera mati sebelum ketumbukan yang selebihnya dapat mengikuti kumpulan asas ini. Menyiksa tawan perang Chechen dengan menusuk mereka dengan bayonet tidak dapat melepaskan rasa geram tentera Russia bila berhadapan dengan kekalahan ini.
Tentera Russia sekarang mula berundur melalui jalan di dalam hutan. Akan tetapi sekarang hutan-hutan itupun seolah-olah hidup dengan musuh yang tidak kelihatan. Penghadang-penghadang jalan yang licin memaksa mereka meninggalkan laluan-laluan tersebut, dan menebas di dalam semak cuma untuk menemui jerangkap serta kekeliruan yang menumpahkan darah. Beratus-ratus tentera Russia mati, termasuk 2 jeneral. Hujan lebat menyebabkan jalan menjadi lumpur, dan menjadikan senapang tidak berguna, hinggakan kedua-dua belah pihak bertempur dengan batu dan tangan kosong. Untuk melepaskan diri dari penembak tepat yang tersembunyi, Vorontsov yang ketakutan memaksa dirinya ditandu di atas peti besi yang di tandu oleh seorang kolonel. Terperangkap, dengan 2 ribu tentera cedera, dan peluru berjumlah 60 butir setiap seorang, ketumbukan Russia tersebut menghantar wakil kepada Jeneral Freitag di Grozny, merayu bantuan.
Pada saat getir ini, Imam Shamil menerima berita yang isterinya Fatimah sedang nazak. Dia terus mengeluarkan perintah untuk meneruskan perang, dan kemudian dia pergi mendapatkan isterinya di aoul yang sejauh sehari perjalanan. Setelah memegang tangan isterinya semasa isterinya menghembuskan nafasnya yang terakhir, dia menunggang kuda kembali ke medan perang, dan beliau dengan sedihnya mendapati pengikutnya telah melanggar perintahnya. Bila pengikutnya melihat tentera bantuan dari Freitag, mereka merasa lemah dan membiarkan ketumbukan Jeneral Vorontsov keluar terhencot-hencot dari dalam hutan tanpa kemusnahan lain. Shamil menggelegak dengan rasa marah, dan dia mengutuk sekeras2 pengikutnya yang lemah jiwa tanpa mencari kemenangan. Tapi Russia membayar dengan harga yang tinggi, tanah-tanah di hutan sekeliling Dargo membaluti mayat 3 jeneral, 200 pegawai dan hampir 4000 tentera biasa.
Hingga sekarang, tentera Russia masih memperingati kekalahan di Dargo dalam satu lagu sayu:
Di dalam kepanasan tengahari, di lembah Daghestan, Dengan satu peluru di hatiku, aku berbaring...
Selama 10 tahun, panji-panji Shamil berkibar di Chechenya dan Daghestan, mengisytiharkan apa yang orang Kaukasia masih memperingati sebagai Zaman Syariah. Tsar Russia, yang murka di istana luasnya di St Petersburg, menerima mesej demi mesej dari jeneral-jeneralnya memuji kemenangan mereka; padahal Shamil masih memerintah. Vorontsov, Neidhart dan yang lain-lainnya dipanggil balik ke Moscow, dan mati tidak dipedulikan orang. Tapi dalam tahun 1851, pemerintahan tentera diberi kepada seorang yang lebih muda, Jeneral Beriatinsky, yang bergelar Syaitan Moscow, dan ini telah menukar perjalanan peperangan untuk selama-lamanyanya.
Komander Russia yang baru ini mengenali taktik musuhnya, dan dia mengadaptasi tekniknya begitu juga. Dia tahu orang Chechen tidak suka pergi berperang kecuali mereka telah berwudhuk, jadi dia memastikan empangan-empangan besar dibina untuk memutuskan bekalan air ke musuhnya. Dia mengambil langkah merasuah kampung-kampung untuk menerima pemerintahan Russia, dan menangguhkan usaha menghamba-abdikan kampung-kampung tersebut.
Dia meninggalkan polisi lama tentera Russia yang membunuh wanita-wanita dan anak-anak kecil sewaktu penaklukan aoul-aoul. Tapi tekniknya yang paling berkesan ialah kempennya yang panjang dan amat perlahan terhadap hutan-hutan tebal Kaukasus. Seperti Amerika di Vietnam dan Peranchis di Algeria, dia sedar musuhnya cuma boleh dikalahkan di tempat terbuka. Lalu dia menggajikan 100,000 lelaki untuk menebang pokok-pokok beech yang besar di wilayah itu. Sebahagian pokok-pokok itu begitu besar hinggakan kapak-kapak tidak berguna, dan letupan digunakan untuk menumbangkannya. Secara perlahan-lahan, hutan Chechenya dan Daghestan hilang, dan Shamil, melihat dari banjaran yang tinggi, tidak dapat berbuat apa-apa untuk mengembalikan hutan-hutan itu.Pada 1858, peperangan mutakhir tercetus. Orang Ingush, terusir dari aoul mereka oleh Russia ke dalam kem di bandar ketenteraan bernama Nazran, memberontak, dan meminta Shamil membantu mereka. Dia turun dari pergunungan dengan mujahidinnya, tapi kalah teruk dibedil oleh meriam ketumbukan yang dihantar untuk mempertahankan kedudukan itu. Bila dia kembali ke pergunungan, dia mendapati sokongan orang-orangnya semakin berkurangan. Yang paling setia padanya pun mula meninggalkannya, dan tentera Russia telah menyerang pengikut-pengikutnya yang sedikit yang tinggal.
Pada Jun 1859, Shamil berundur ke aoul yang paling sukar dijejak: Gounib. Di sini, bersama-sama dengan tiga ratus Murid-murid yang setia, dia nekad untuk bertahan buat kali terakhir. Tentera Russia dihentak berundur berkali-kali; tapi akhirnya, setelah berdoa panjang, dan terpanggil dengan ugutan Beriatinsky untuk membunuh semua ahli keluarganya jika Shamil tidak dapat ditangkap hidup-hidup, dia bersetuju untuk meletakkan senjatanya.
Begitulah berakhirnya Zaman Syariah di Kaukasus. Imam Shamil dihantar ke utara untuk bertemu dengan Tsar Russia, dan dia dibuang daerah ke sebuah bandar kecil berdekatan dengan Moscow. Di sini dia bermastautin, bersama-sama dengan rombongan keluarga dan pengikut yang semakin sedikit, hingga 1869, bila Tsar Russia membenarkan dia untuk berangkat dan tinggal di dalam persaraan di Kota Haramain. Perjalanannya yang terakhir itu, melalui Turki dan Timur Tengah, penuh dengan peristiwa, bilamana beliau disambut dengan keceriaan, laungan dan sorakan ribuan manusia, yang menyambut Imam itu yang namanya telah menjadi legenda di seluruh tanah-tanah Islam.
Anaknya Ghazi Muhammad, dibebaskan pada 1871 dari penjara Russia, mengembara ke Mekah untuk bertemu dengan Imam Shamil. Dia tiba di Mekah, namun, Imam Shamil ketika itu sedang berziarah di Madinah. Semasa Ghazi Muhammad bertawaf di keliling Kaabah, seorang yang berpakaian lusuh, berserban hijau tiba-tiba datang padanya dan meneriakkan: Wahai Mukminin, solatlah sekarang untuk roh agung Imam Shamil!
Ianya benar: hari itu, Shamil, yang menyebut ALLAH! ALLAH!, telah meninggal dunia untuk pergi ke kehidupan yang kekal di Syurga. Dia dikebumikan, di sebalik kesedihan ribuan manusia, di Perkuburan Baqi. Tapi namanya terus hidup; dan walaupun sekarang, di rumah-rumah keturunannya di Istanbul dan Madinah, di dalam flat-flat yang dindingnya masih dihiasi dengan panji-panji hitam, ibu-ibu menyanyikan pada anak-anak mereka kata-kata yang akan diingati selagi Muslim diam di Chechenya dan Daghestan:
Wahai pergunungan Gounib,
Wahai lasykar Shamil
Kota Shamil dipenuhi oleh pahlawan-pahlawan
Tapi ianya telah gugur, gugur selamanya...
Raudhah.Net
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 Response to "Tarikat Suatu Sumber Kekuatan Umat Islam"