"BUKAN SENANG TAPI MUDAH" KALAU KITA MENJAGA ADAB DAN AJKHLAK, PERJALANAN KITA MENUJU ALLAH MENJADI MUDAH.
eBooks, Software and Downloads

Black Metal

Posted by Nabiha Al-Khalidiy On 3:13 AM 28 comments

Mari sama-sama kita melihat dan meninjau fatwa di bawah ini tentang Black Metal. Walaupun isu ini agak lama sudah diperkatakan tetapi yang jelasnya masih terdapat golongan-golongan yang terpengaruh dengan muzik-muzik liar mereka. Sekali imbas pada logo-logo mereka sudah jelas pengasas atau tali barut di sebalik kumpulan ini....Moga Allah menyelamatkan kita daripada tipudaya syaitan...dan memberikan kita ketenangan dengan hiburan yang hakiki...iaitu zukrullah. Sesunggahnya janji Allah pasti akan berlaku dan terjadi...bila Allah janjikan ketenangan dengan mengingatinya maka akan ada ketenangan....Janji-janji syaitan hanya tipu muslihat yang memuaskan keinginan nafsu semata-mata.

BAHAYA ‘BLACK METAL’
Merosakkan akidah, syariah dan akhlak umat Islam



Latar Belakang

Black Metal adalah muzik yang muncul pada awal 1980-an, sama era muzik Heavy-Metal. Ia berkembang daripada Thrash Metal sama seperti Death metal.

Antara pengasas muzik Black Metal yang dikenali ramai seperti Kumpulan Venom, Mercyful fate, Bathory, Helthammer, Bulldozer, Celtic Frost dan Mayhem. Nama Black Metal diilhamkan daripada tajuk album kumpulan Venom ‘Black Metal’ yang bermaksud logam hitam.

Black Metal mengukuhkan kedudukannya pada masa kini dengan pengaruh muzik dari Norway seperti Darkhtronhe, Enslaved, Burzum, Mayhem, Immortal, Ancient, dan Emperor.
Aliran muzik yang diasaskan di barat jelas menjurus kepada pemujaan syaitan dan liriknya yang liar, ganas, mengagungkan syaitan serta perkara-perkara yang menyentuh tentang ketuhanan (anti agama) dan alam ghaib.


Sejarah ringkas Black Metal

Pemain gitar Mayhem berbangsa Norway, Oystein Aarseth atau lebih dikenali Euronymous adalah anggota yang paling menonjol pada lewat 1980-an dan awal 1990-an.
Black Metal yang diperkenalkan Aarseth ada kaitan dengan National Social Black Metal (NSBM- ada pengaruh neo-Nazi), beliau memasukkan elemen menentang Yahudi.
Pergerakan kumpulan itu dilakukan secara sembunyi bermula di bilik bawah kedai muzik milik Aarseth. Kemudian dikembangkan di kalangan sahabat rapat mereka. Bilik bawah tanah itu dikenali sebagai Helvete (neraka).

Ciri-ciri muzik Black Metal

* Petikan gitar menggunakan irama muzik yang keras.
* Lirik yang memuja syaitan, unsur pemujaan atau mengutuk agama.
* Bunyi gitar yang nyaring dan juga menggunakan bunyi gitar yang tebal.
* Pengeluaran album yang terhad kerana permintaan yang kurang.
* Muzik laju, ketukan dram agresif dan bingit. Kadangkala ketukan dikurangkan.
* Kebiasaannya menggunakan keyboard elektronik.
* Ada juga yang memasukkan bunyian biola, organ dan iringan koir bagi memasukkan elemen orchestra.
* Nada bunyi yang tinggi dengan suara yang menjerit.


Sejarah Black Metal di Malaysia

Kumpulan ini sebenarnya sudah lama wujud di negara ini, namun ianya berselindung disebalik kumpulan rock barat yang memang sedia ada yang berasal dari dalam atau luar negara. Tetapi sejak akhir-akhir ini, kumpulan ini sudah melampaui batas dan nilai-nilai norma kehidupan masyarakat Timur serta dihasut pula fahaman tiada agama (Free Thinker) yang akhirnya sanggup melakukan apa sahaja yang bertentangan dengan nilai kehidupan sejagat.
Kemasukan irama muzik Barat ke dalam muzik kelahiran Malaysia bermula sejak tahun 1970-an apabila kumpulan

Sweet Charity membawa irama rock. Seterusnya di era 80-an pulamuzik rock mula mendapat tempat secara meluas, begitu juga dengan genre Heavy Metal.
Kumpulan pertama di Malaysia yang mempelopori penglibatan anak tempatan ke dalam irama Black Metal ialah Black Fire.


Lirik kumpulan Black Metal di Malaysia pula lebih tetumpu kepada masalah mistik, tahyul, alam perubatan tradisional, hikayat lama, sikap hipokrit masyarakat dan seumpamanya.
Di Malaysia, kumpulan ini dianggotai oleh sebahagian besar remaja dan belia Melayu Islam, dengan takrifan Black Metal sebagai ideologi yang cuba dikembangkan oleh golongan-golongan tertentu kepada masyarakat belia melalui alunan muzik yang berlirikkan pemujaan syaitan, anti-ketuhanan, kekejaman (pembunuhan), seks bebas dan seumpamanya.



Ciri-ciri perwatakan Black Metal

* Pakaian serba hitam yang dilambangkan dengan kepala tengkorak, bintang lima bucu dengan kepala kambing dan salib terbalik.

* Tanda-tanda yang nyata sebagai ahli kumpulan ini ialah parut dibawah dagu yang ditoreh dengan duit syiling panas.

* Memakai aksesori perempuan serba hitam dan apabila sudah matang sebagai ahli, mereka akan diminta memijak AL-QURAN sebagai tanda menghinanya.

* Ahli kumpulan pula terdiri daripada kumpulan remaja melayu antara 15-35 tahun sebagai division satu, manakala 13-19 tahun dinamakan division dua.

Berzikir nama-nama syaitan dengan mengangkat tangan (lambang syaitan).
Masa berkumpul mereka ialah waktu lewat malam hingga menghampiri waktu subuh dengan memasang lilin, muzik yang agak pelik di samping mengangkat tangan dengan jari berbentuk (lambang syaitan)


Perkara yang bertentangan dengan ISLAM

Dari segi akidah:

* Memijak AL-QURAN.
* Memuja iblis dan syaitan serta membenci Tuhan.
* Beramal dengan fahaman Free Thinker.
* Anti ketuhanan dan anti agama.
* Mengaku dirinya telah murtad.
* Merosakkan minda dan memesongkan akidah.
* Mempunyai kitab tersendiri yang mencampur-adukkan beberapa ayat suci AL-QURAN, tulisan rumi, hadis dan Injil.
* Menganjurkan beberapa acara pemujaan seperti memijak AL-QURAN.

Dari segi syariah:

* Membakar dan menghina AL-QURAN.
* Mendakwa diri sebagai pengikut syaitan.
* Melakukan upacara meditasi dan pesta puja api.
* Minum arak dan darah.
* Mengamalkan seks bebas.
* Menggalakkan amalan bunuh diri.
* Menggalakkan pembunuhan.

Dari segi akhlak


* Suka kepada muzik berbentuk keras, perlakuan kejam dan liar disamping mengagungkan syaitan dan memuja roh.
* Meminum darah haiwan yang dibunuh secara kejam sebagai simbolik anti ketuhanan dan semua agama.
* Berpakaian tidak senonoh serta aksesori seperti rantai, salib terbalik dan pentagram, mengukir parut di dagu menggunakan syiling panas.
* Berfoya-foya seolah tiada pegangan agama serta bergaul bebas antara lelaki dan perempuan.
* Meminum darah kambing sebagai syarat masuk ahli.


Keputusan Fatwa

Majlis Fatwa Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam memutuskan Ideologi Black Metal yang diasaskan kumpulan muzik berirama rock berat (Black Metal) dari dalam negeri atau luar negara adalah HARAM dari segi ISLAM.

Negeri Selangor telah mewartakan fatwa berkaitan Black Metal pada 15 Mac 2007. Amalan dan perbuatan kumpulan ini adalah sesat dan bercanggah dengan ajaran Islam. Umat Islam diminta menjauhi kumpulan tersebut kerana perbuatan dan amalan mereka boleh menyebabkan terkeluar daripada Islam serta tindakan undang-undang boleh diambil ke atas mereka.

Langkah-langkah pencegahan

Mengadakan kawalan terhadap muzik-muzik ‘rock’ berbentuk ‘heavy metal’ termasuk kumpulannya sekali di semua peringkat yang dikatakan menjadi penyebab ke arah wujudnya ‘Black Metal’ di Malaysia.

Mana-mana individu yang terlibat dalam kumpulan ini perlu menjalani pemulihan akidah serta bimbingan ke arah menjalani kehidupan yang sempurna.
Mengawal melalui tindakan bersepadu dengan agensi-agensi berkaitan bagi menghadkan remaja-remaja khususnya pelajar-pelajar sekolah dari berada di premis-premis berunsur hiburan melaui apa sahaja cara yang bersesuaian;

Mendedahkan secara berterusan mengenai kumpulan ini melalui media massa, khutbah, ceramah, forum dan sebagainya agar semua masyarakat dapat mengawasinya daripada terus berkembang dikalangan anak-anak muda.

Ajaran ini perlu difatwakan dan diwartakan oleh setiap negeri untuk memudahkan perlaksanaan tindakan undang-undang ke atas mereka yang terlibat.


BAHAGIAN PENYELIDIKAN DAN PEMBANGUNAN JABATAN AGAMA ISLAM SELANGOR
Tingkat 5, Menara Utara, Bangunan Sultan Idris Shah,
40000 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan.
Tel: 603-55143400/ 55196351/ 55142093/ 55143683
Faks: 603-55128346
http://www.jais.gov.my

Read More..
Category : edit post

Followers

Pautan

Komuniti Blogger Azhari