"BUKAN SENANG TAPI MUDAH" KALAU KITA MENJAGA ADAB DAN AJKHLAK, PERJALANAN KITA MENUJU ALLAH MENJADI MUDAH.
eBooks, Software and Downloads

Tarikat Mengikut al-Quran

Posted by Nabiha Al-Khalidiy On 6:51 AM

Di dalam al-Qur`an, Allah  telah berfirman dengan menyebut lafaz طريقة sebanyak sembilan kali dalam lima surah yang mengandungi beberapa pengertian.

Antaranya : Allah  berfirman di dalam surah al-Nisa` ayat 168 berbunyi :

 إن الذين كفروا وظلموا لم يكن الله ليغفر لهم ولا ليهديهم طريقا

Maksudnya : “Sesungguhnya orang-orang yang ingkar dan melakukan kezaliman, Allah sekali-kali tidak akan mengampuni dosa mereka dan tidak pula akan menunjukkan jalan kepada mereka.”


Sejurus dari ayat di atas, Allah  berfirman pula di dalam surah al-Nisa` ayat 169 berbunyi :

 إلا طريق جهنم خالدين فيها أبدا وكان ذلك على الله يسيرا 

Maksudnya : “Melainkan jalan ke neraka jahanam, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Dan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah.”


Selain itu, Allah  juga telah berfirman di dalam surah Taha ayat 63 berbunyi :
قالوا إن هذان لسحران يريدان إن يخرجاكم من أرضكم بسحرهما ويذهب
بطريقتكم المثلى 

Maksudnya : “Mereka mengatakan : Sesungguhnya dua orang ini ( Nabi Musa dan Harun  ) adalah benar-benar ahli sihir yang hendak mengusir kamu dari negeri kamu dengan sihirnya dan hendak melenyapkan kedudukan kamu yang utama.”


Telah berlaku perselisihan ulama di dalam mentafsirkan ayat ini. Namun, Imam al-Qurtubiy menyimpul dengan mengatakan : “Ayat ini bermaksud dua orang yang datang (sebagaimana yang dikatakan oleh Fircaun kepada para ahli sihirnya) untuk merosakkan agama kamu yang kamu anuti selama ini. Atau ia juga bermaksud (sebagaimana yang dikatakan Fircaun) aku takut kedatangan mereka (Nabi Musa dan Harun ) untuk menukarkan agama kamu atau melakukan kerosakan di muka bumi.”


Selanjutnya, di dalam surah yang sama dengan ayat yang berlainan, Allah  berfirman lagi di dalam surah Taha ayat 77 berbunyi :

 ولقد أوحينا إلى موسى أن أسر بعبادي فاضرب لهم طريقا في البحر يبسا
لا تخاف دركا ولا تخشى 


Maksudnya : “Dan sesungguhnya telah kami wahyukan kepada Musa : pergilah kamu dengan hamba-hambaKu (Bani Israil) pada malam hari. Maka buatlah untuk mereka jalan yang kering di laut itu. Kamu tidak perlu takut tersusul atau tenggelam.”


Lafaz طريقة dalam ayat ini bermaksud jalan di laut yang dijadikan Allah  untuk Nabi Musa dan pengikut-pengikutnya secara memukul laut itu dengan menggunakan tongkat untuk melepaskan diri dari kepungan Fircaun.


Seterusnya, Allah  berfirman pula di dalam surah Taha ayat 104 yang berbunyi :
 نحن أعلم بما يقولون إذ يقول أمثلهم طريقة إن لبستم إلا يوما 

Maksudnya : Kami lebih mengetahui apa yang mereka katakan ketika berkata orang yang paling lurus jalannya di antara mereka. : “Kamu tidak mendiami dunia ini melainkan sehari sahaja.”


Lafaz طريقة dalam ayat ini bermaksud lurus jalannya. Iaitu orang yang agak lurus fikirannya atau amalannya di antara orang-orang yang berdosa itu.


Di dalam versi suci yang lain, Allah  berfirman di dalam surah al- Ahqaf ayat 30 berbunyi :

 قالوا يقومنا إنا سمعنا كتابا أنزل من بعد موسى مصدقا لما بين يديه يهدي إلى
الحق وإلى طريق مستقيم 

Maksudnya : “Mereka berkata : “Hai kaum kami, sesungguhnya kami telah mendengar kitab Al-Qur’an yang telah diturunkan sesudah Musa  yang membenarkan kitab-kitab sebelumnya lagi memimpin kebenaran dan kepada jalan yang lurus.”


Seterusnya, Allah  berfirman lagi di dalam surah al-Mukminun ayat 17 berbunyi :
 ولقد خلقنا فوقكم سبع طرآئق وما كنا عن الخلق غفلين 

Maksudnya : “Dan sesungguhnya kami telah menciptakan di atas kamu tujuh buah jalan (tujuh lapis langit) dan kami tidaklah lengah terhadap ciptaan kami.”


Selain dari ayat-ayat di atas, Allah  juga turut berfirman di dalam surah al-Jin ayat 11 berbunyi :

 وإنا منا الصالحون ومنا دون ذلك كنا طرائق قددا 

Maksudnya : “Dan sesungguhnya di antara kami (golongan jin) ada orang-orang yang soleh dan ada pula yang sebaliknya. Adalah kami menempuh jalan yang berbeza-beza.”


Manakala pada ayat yang terakhir -- mengikut susunan surah -- Allah  berfirman di dalam surah al-Jin ayat 16 berbunyi :

 وألو استقاموا على الطريقة لأسقيناهم مآء غدقا 

Maksudnya : “Dan sekiranya mereka tetap berjalan lurus di atas jalan itu ‘Islam” kami benar-benar akan memberi minum kepada mereka air yang segar.”


Kesimpulan :

Demikianlah beberapa penjelasan makna tarekat dari segi penggunaan lafaz dan huraian ulama tafsir yang bersumberkan al-Qur’an al-Karim. Dengan keterangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa lafaz tarekat bermaksud “jalan”, “cara”, “kedudukan”, “keyakinan” dan “agama”. Makna perkataan ini secara jelasnya ada persamaan dengan pengunaannya dari sudut bahasa. Namun begitu, istilah tarekat juga seharusnya dinilai dalam konteks al-Sunnah al-Nabawiyyah yang menjadi sumber primer kepada perundangan Islam itu sendiri. Justeru, kita perlu menilai istilah ini dari kacamata ilmu yang luas supaya setiap konotasinya bersifat menyeluruh dan memperlihatkan kedudukannya yang asal.

Category : edit post

0 Response to "Tarikat Mengikut al-Quran"

Followers

Pautan

Komuniti Blogger Azhari