"BUKAN SENANG TAPI MUDAH" KALAU KITA MENJAGA ADAB DAN AJKHLAK, PERJALANAN KITA MENUJU ALLAH MENJADI MUDAH.
eBooks, Software and Downloads

Tarikat Naqsyabandiyyah

Posted by Nabiha Al-Khalidiy On 6:59 AM

Tarekat Naqshabandiyyah ialah sebuah kumpulan pengamalan kerohanian tasawuf yang di asaskan oleh Shaykh Muhammad Baha` al-Din bin Muhammad bin Muhammad al-Uwaisiy al-Naqshabandiy al-Bukhariy. Beliau dilahirkan di sebuah desa Qashr al-cArifan lebih kurang empat kilometer dari bandar Bukhara, Uzbekistan pada tahun 717H bersamaan 1317M. Beliau meninggal dunia pada tahun 791H bersamaan 1389M.


Semasa hayatnya, Shaykh Muhammad Baha` al-Din sempat belajar dan mengambil tarekat daripada Shaykh al-Sharif al-Amir al-Kulal bin Syed Hamzah yang wafat 772H bersamaan 1371M . Beliau juga sempat berguru dengan Shaykh Muhammad Baba al-Samasiy (wafat pada tahun 740H bersamaan 1340M) iaitu tuan guru kepada gurunya, Shaykh al-Amir al-Kulal. Susur galur silsilah pengamalan Shaykh Muhammad Baha` al-Din dikatakan mendasar kepada Sayyidina Abu Bakr al-Siddiq .


Dengan ini dapatlah diandaikan bahawa pengamalan tarekat ini secara zahirnya dinisbahkan kepada Naqshabandiy mungkin disebabkan karamahnya yang terserlah dalam situasi pegangan agama masyarakat yang semakin goyah. Ataupun mungkin juga disebabkan oleh keahlian atau kemampuan beliau sebagai seorang mujtahid di dalam bidang dan zamannya yang tersendiri.


Menurut Shaykh Muhammad Amin al-Kurdiy, nama Naqshabandiyyah di ambil daripada dua lafaz arab iaitu نقش dan بند.. Lafaz نقش bermaksud ukiran yang dicop pada sesuatu benda. Manakala lafaz بند pula bermaksud layar atau bendera yang besar. Jadi, singkatan ini membawa maksud ‘gambaran yang tertera pada sesuatu samada pada bendera atau layar yang besar’.


Menurut sebahagian ulama Naqshabandiyyah, nama Naqshabandiy di ambil sempena dengan ahwal penyebarnya yang termasyhur iaitu Shaykh Muhammad Baha` al-Din al-Husainiy al-Naqshabandiy. Diriwayatkan juga bahawa beliau sentiasa melazimi berzikir mengingati Allah  dalam keadaan lafaz ism zat (lafaz al-Jalalah) terukir dihatinya tanpa terpisah sedikitpun. Sesetengah ulama Naqshabandiyyah mengatakan Naqshabandiy itu dinisbahkan kepada tempat kelahiran Shaykh Muhammad Baha` al-Din. Ada juga pendapat yang mengatakan bahawa beliau pernah didatangi Rasulullah  secara rohani ketika berzikir. Lalu Baginda meletakkan tangannya ke atas dada beliau. Lanjutan dari peristiwa ini terukirnya ism zat dihati beliau secara berterusan.


Selebihnya, sebahagian ulama tarekat Naqshabandiyyah berpendapat Naqshabandiy adalah istilah yang lahir sahaja. Hakikatnya ialah gambaran dari lautan makrifat Allah yang tak bertepi diperlihatkan kepada mereka. Bagi penulis, hal seperti ini tentu sukar untuk digambarkan dengan dalil dan fikiran melainkan bagi mereka yang menempuh jalan dan benar-benar merasai geloranya sahaja yang akan mengerti.


Secara keseluruhannya dapatlah difahami bahawa tarekat Naqshabandiyah adalah sejenis pengamalan kerohanian yang dinisbahkan kepada pengasasnya yang terkenal iaitu Shaykh Muhammad Baha` al-Din b. Muhammad al-Naqshabandiy al-Bukhariy. Di samping itu, boleh juga diandaikan bahawa penisbahan ini berlaku disebabkan oleh daya kebolehan dan keijtihadan beliau dalam bidang yang diceburinya. Manakala pengamalan kerohanian yang dipraktikkan pula merupakan kumpulan zikir yang bertindak sebagai wasilah untuk menyampaikan diri kepada Allah .


Al-Khalidiyyah pula dinisbahkan kepada cara pengamalan Shaykh Khalid cUthmaniy al-Kurdiy dalam tarekat al-Naqshabandiy. Beliau dilahirkan pada tahun 1193H bersamaan 1779M di Kampung Karada, Kota Sulaymaniyyah, Iraq. Kepimpinan beliau di dalam tarekat al-Naqshabandiy diiktiraf sebagai mujtahid yang mujaddid pada kurun ke 13 H sehingga diberikan gelaran al-Mujaddidiyyah. Beliau dididik dan dibesarkan di Kota Sulaymaniyyah yang pada waktu itu pusat ilmu yang utama di Iraq. Beliau bermazhab al-Shaficiy dan berasal dari keturunan Sayyidina cUthman bin cAffan. Beliau mempelajari Al-Quran dan Tafsir Imam al-Rifaciy dan sangat masyur dengan gelaran seorang penyair. Ketika berumur lima belas tahun beliau mula hidup secara berzuhud.


Shaykh Khalid mula mempelajari ilmu dengan dua orang ulama besar iaitu Shaykh cAbd al-Karim al-Barzanjiy dan Shaykh cAbd Rahim al-Barzanjiy. Beliau juga belajar dengan Mulla Muhammad Saleh. Beliau juga turut mempelajari ilmu duniawi seperti ilmu hisab, falsafah dan mantiq. Kemudian beliau berpindah ke Baghdad dan mempelajari pula kitab Mukhtasar al-Muntaha, iaitu satu ensiklopedia dalam bidang usul feqah.


Tidak cukup dengan itu, beliau mempelajari pula kitab-kitab karangan Imam Ibn Hajr al-cAsqalaniy, Imam al-Suyutiy dan Imam Ibn Hajr al-Haithamiy. Seluruh kitab tafsir al-Baidawiy dihafalnya. Dengan ilmunya, beliau dapat menyelesaikan banyak permasalahan feqah dengan mudah. Beliau dikatakan menguasai semua empat belas jenis qiraat dan menjadi masyhur di mana-mana sahaja dengan kemampuan ini.


Shaykh Khalid kemudiannya mula berkhalwat dan meninggalkan semua pengajiannya untuk mencari Allah dengan melakukan ibadat dan zikrullah samada secara jahr mahupun sir. Saat itu, dia mula menghentikan kebiasaannya menziarahi sultan-sultan dan menyendiri bersama murid-muridnya sehingga tahun 1220M bersamaan 1806M. Beliau kemudiannya berpindah ke India pada tahun 1224H/1809M melalui bandar Ray, Teheran dan beberapa kota lain di Iran. Di India, beliau telah dibaycah oleh shaykhnya iaitu Shaykh cAbd Allah al-Dahlawiy.


Beliau kemudiannya mempelajari ilmu hadis, tafsir, tasawwuf dan lain-lain ilmu dari Shaykh Abd cAllah al-Dahlawi. Beliau diberikan keizinan untuk mengajarkan ilmu-ilmu tersebut kepada murid-muridnya pula. Dia juga telah menghafaz kitab Imam Hadis Dua Belas. Dengan kemampuannya, beliau akhirnya telah diijazahkan dengan lima macam tarekat. Antaranya, tarekat Naqshabandiah, tarekat al-Qadiriyyah, tarekat Suhrawardiyyah, tarekat Kubrawiyyah dan tarekat Chistiyyah. Beliau meninggal dunia pada hari Jumacat 13 Zulqacedah 1242H bersamaan 1827M.


Selain penisbahan al-Khalidiyyah, terdapat juga penisbahan yang lain seperti tarekat Naqshabandiah al-Mazhariyyah. Iaitu penisbahan yang dibuat berdasarkan kepada keijtihadan dan kepimpinan Shaykh Shams al-Din Janjana Mazhar. Begitu juga dengan penisbahan tarekat Naqshabandiah al-Mujaddidiyyah al-Ahmadiyyah. Iaitu penisbahan yang dibuat bersempena dengan keijtihadan dan cara pengamalan Shaykh Ahmad Faruqiy al-Sirhindiy al-Mujaddidiyyah.


Akan tetapi, selepas daripada zaman Shaykh Khalid cUthmaniy al-Kurdiy, penisbahan ini amat sinonim untuk tarekat al-Naqshabandiah al-Khalidiyyah. Maka dengan kedudukan ini terbentuklah tarekat al-Naqshabandiah al-Khalidiyyah hingga sekarang . Maksudnya tidak berlaku apa-apa nisbah perubahan lagi terhadap pimpinan tarekat ini kerana syarat penisbahannya begitu ketat dikalangan mashaikh tarekat. Hal ini diambil kira bagi mengelak sebarang pengurangan, penambahan dan penyelewengan serta pandangan serong masyarakat terhadap aliran tarekat Naqshabandiah.


Kesimpulannya, penisbahan Naqshabandiah al-Khalidiyyah, Naqshabandiah al-Madhariyyah ataupun Naqshabandiyyah al-Mujaddidiyyah al-Ahmadiyyah sebenarnya dilihat bersifat cawangan sahaja daripada Naqshabandiah. Secara jelasnya, penisbahan itu berlaku disebabkan keijtihadan dan kewibawaan pemimpin berkenaan di dalam tarekat Naqshabandiah pada kedudukan dan zaman yang tertentu. Walau bagaimanapun, penisbahan tarekat Naqshabandiah al-Khalidiyyah dilihat lebih mononjol dan meluas rangkaiannya di alam Nusantara.Selain daripada Tarikat Naqshabandiah Khalidiah, terdapat Tarikat Naqshabandiah Mujaddidiah di Malaysia.

Category : edit post

1 Response to "Tarikat Naqsyabandiyyah"


Followers

Pautan

Komuniti Blogger Azhari